EV: Perlu jelas hala tuju - Utusan Malaysia

EV: Perlu jelas hala tuju

ZAINAL ABIDIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan me­ngenai pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, negara memerlukan ekosistem khusus dan hala tuju yang jelas sebelum kenderaan berkenaan dihasilkan.

“Apakah tujuan kita buat EV di Malaysia? Adakah tujuannya sebab alam sekitar? Adakah sebab teknologi atau sebab negara lain buat kita buat? Kita kena jelas hala tuju,” katanya kepada pemberita selepas sesi pandu uji D55L di Rawang, baru-baru ini.

 

Model yang dikatakan sebagai Ativa, merupakan yang tercanggih untuk Perodua setakat ini, bakal dilancarkan pada Rabu.

D55L atau dikatakan bakal dikenali sebagai Ativa, akan dilancarkan Rabu ini dan merupakan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak pertama Perodua.

Pembikinannya di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menjadikan D55L model Perodua pertama menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT).

Datang dengan tiga varian iaitu X, H dan AV, D55L ditawarkan pada harga atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 hingga RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

Menurut Zainal Abidin, sekiranya penghasilan EV di­sebabkan faktor alam sekitar, maka kerajaan perlu melihat ekosistem keseluruhan di negara ini yang mana sumber tenaga antara 70 hingga 80 peratus dijana daripada arang batu.

Keadaan itu kata beliau, berbeza di negara Eropah se­perti Sweden yang mana sumber tenaga dihasilkan daripada kuasa hidro yang lebih mesra alam.

“Kalau dari segi teknologi, kita kena kaji infrastruktur elektrik. Berdasarkan sekarang, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan industri kena tengok balik. Apa sebenarnya yang kita nak sebagai EV?.

“Adakah kita nak teknologi? Jika betul, kita fokus dan buat. Lupakan apa orang kata tentang alam sekitar, baru kita ada faktor penggerak. Kemudian, baru industri akan mula ikut.

“Buat masa ini dah ada bincang dengan pihak kerajaan iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain. Kalau ada perkembangan terperinci kita akan umumkan. Dari segi objektif kita pastikan penggunaan bahan api rendah terhadap kenderaan kita,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.