fbpx

2 Mac 2021, 1:45 pm

  TERKINI

SC, Bursa lanjut penggantungan IDSS, Jualan Singkat PDT

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan yang memberi kesan kepada pasaran sekuriti tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan melanjutkan penggantungan sementara ke atas jualan singkat Intra Hari (IDSS) dan
Pedagang Harian Proprietari (Jualan Singkat PDT) sehingga 29 Ogos 2021.

Menurut SC, penggantungan sementara IDSS dan Jualan Singkat PDT akan berakhir pada 28 Februari ini.

“Ia berkuat kuasa pada 24 Mac 2020 sebagai sebahagian daripada tindakan proaktif pengawal selia untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul berikutan meningkatnya turun naik dan ketaktentuan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas SC, penggantungan tambahan selama enam bulan bagi IDSS dan Jualan Singkat PDT, yang digunakan terutamanya sebagai strategi dagangan harian, akan membolehkan
Bursa Malaysia meningkatkan langkah-langkah kawalan terhadap aktiviti jualan singkat intra hari untuk meningkatkan kestabilan pasaran dan memperkukuh integriti pasaran modal.

Dengan pelanjutan penggantungan ini, katanya, pengecualian sementara yang berkaitan dengan PDT juga akan dilanjutkan sehingga 29 Ogos 2021.

“Pelanjutan tempoh ini tidak membabitkan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (RSS), yang ketika ini masih dijalankan berikutan pemansuhan penggantungannya pada 1 Januari 2021.

“SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan yang memberi kesan kepada pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah-langkah yang sedia ada untuk menyokong pasaran yang adil dan teratur serta mengurangkan risiko yang berpotensi,” katanya. – UTUSAN