Facebook bukan lagi aplikasi yang asing kepada masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia. Sejak mula diperkenalkan pada 2004, ia telah berjaya membuka transformasi baharu dalam jalinan perhubungan sosial dalam talian dan terus berkembang sebagai satu daripada platform media sosial pilihan ramai dengan pengguna aktif mencecah seramai 2.80 bilion sehingga Disember 2020.
Potensi Facebook juga terus menarik perhatian usahawan dan organisasi perniagaan, terutama yang menjurus kepada pasaran pengguna (B2C) sebagai salah satu platform pemasaran dan corong jualan yang kompetitif dan kos efektif. Terdapat pelbagai kaedah pemasaran media sosial yang boleh dipraktikkan mengikut kreativiti dan aspirasi perniagaan, sama ada melalui pemasaran tanpa kos (zero-cost marketing) atau periklanan Facebook Ads dalam memperkukuh prospek pasaran dan pelanggan secara dalam talian.
Selaras perkembangan trend pemasaran digital, Facebook juga tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan marketplace sebagai ruangan berjual beli di media sosial yang mula diperkenalkan pada 2006 sebagai pilihan selain Facebook Page dan Facebook Shop. Sehingga kini, Facebook Marketplace turut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peniaga dan pengguna Facebook di Malaysia.
Facebook Marketplace merupakan sebuah platform yang terintegrasi bersama aplikasi media sosial Facebook. Ia menawarkan kepada pengguna untuk menjual atau membeli produk baharu dan terpakai kepada pengguna Facebook yang lain secara mudah melalui tampilan seperti katalog berserta imej dan maklumat tentang sesebuah produk yang dipamerkan. Jika ada yang tertarik, prospek atau bakal pembeli hanya perlu menekan tombol Hubungi Penjual untuk berkomunikasi terus di Facebook Messenger.
Platform Facebook Marketplace boleh dilihat pada bahagian kiri akaun Facebook peribadi melalui paparan komputer dan dalam bentuk ikon premis perniagaan pada bahagian bawah susur masa melalui paparan telefon pintar dan peranti. Ia turut menyediakan ruang carian marketplace bagi memudahkan setiap pengguna mendapatkan pelbagai kategori produk yang ingin dicari atau dijual.
Berdasarkan pandangan pemain industri digital, Facebook Marketplace merupakan antara platform yang sesuai untuk usahawan pemula, peniaga mikro dan sederhana serta mereka yang terlibat sebagai ejen pemasaran dan jualan produk. Ia menawarkan kelebihan kepada peniaga untuk memperkenalkan produk yang dipasarkan kepada prospek di lokasi yang releven di Facebook dan seterusnya membantu peniaga memperkukuh prospek lokaliti pasaran setempat.
Melalui kemudahan integrasi perhubungan di Facebook Messenger juga dapat membuka ruang kepada peniaga dan pembeli untuk perbincangan lanjut dan menentukan kaedah urus niaga berdasarkan persetujuan bersama. Setiap pelanggan yang menghubungi secara tidak langsung juga menyumbang sebagai senarai pengkalan data pelanggan kepada peniaga.
Selain itu, Facebook Marketplace membantu memudahkan semakan latar belakang prospek dan peniaga melalui profil Facebook masing-masing. Kemudahan ini turut membantu dalam meningkatkan keyakinan prospek terhadap peniaga dan sebaliknya. Ia dapat mengurangkan kebarangkalian berlaku penyamaran pembelian atau penipuan dari pihak penjual mahupun pembeli.
Justeru itu, bagi usahawan yang berhasrat memanfaatkan potensi Facebook Marketplace dalam memasarkan produk, anda perlu memastikan profil pengenalan diri yang jelas termasuk menyertakan gambar-gambar dan maklumat produk yang dapat menarik perhatian serta keyakinan prospek untuk berlanggan. Kemudahan Facebook Marketplace membantu menyokong kredibiliti secara lebih peribadi dalam membina perhubungan pelanggan dan perniagaan.
Membina engagement atau jalinan perhubungan yang baik bersama prospek dan pelanggan merupakan amalan dasar pemasaran pada era digital ini. Facebook Marketplace mempunyai ciri-ciri yang dapat membantu memudahkan lagi engagement digital kepada prospek pelanggan melalui potensi media sosial.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










