Peluang MAB bangkit semula - Utusan Malaysia

Peluang MAB bangkit semula

Peningkatan kes Covid-19 terus menjejaskan industri penerbangan tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Keadilan England dan Wales untuk Malaysia Aviation Group (MAG) menstruktur semula hutang dilihat tepat pada masanya memandangkan industri penerbangan kini sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perkembangan itu juga dilihat sebagai peluang untuk MAG sebagai syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) memulih dan memastikan MAB mampu bangkit semula selepas ini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, dengan pelbagai petanda pemulihan industri penerbangan, perkara tersebut membolehkan syarikat penerbangan negara itu merangka pelan pemulihan, pembangunan dan pemerkasaan dengan lebih cekap dan efisien.

“MAB mempunyai hutang RM16 bilion dan telah diberi kebenaran menstruktur semula hutang mereka. Ini dilihat sebagai ruang dan peluang untuk bangkit dan memulihkan kembali perniagaan mereka.

“Dan masanya amat bertepatan, apatah lagi program vaksinasi telah bermula secara global. Ini adalah petanda awal bahawa permintaan pergerakan merentasi sempadan akan kembali rancak dan sektor penerbangan akan kembali pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, MAG mengumumkan bahawa Mahkamah Tinggi Keadilan England dan Wales telah mempersetujui Skim Pengaturan di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat United Kingdom (UK) 2006 antara entiti pemajakan MAG, MAB Leasing Limited dengan majoriti pemberi pajak operasi pesawatnya.

Skim tersebut menerima sokongan penuh pemberi pajak yang relevan dan mewakili komponen penting langkah penstrukturan semula MAG yang lebih luas yang akan mengurangkan liabiliti MAG sebanyak lebih RM15 bilion.

Elemen utama penstrukturan semula itu termasuk komitmen modal daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebanyak RM3.6 bilion kepada MAG untuk membiayai perniagaannya sepanjang tempoh persntrukturan semula sehingga 2025.

Tambah Baharom, industri penerbangan dijangka akan pulih dengan drastik dan MAG perlu menggunakan peluang tersebut sebaiknya, lebih-lebih lagi selepas diberi kebenaran untuk menstrukturkan semula hutangnya.

“Sebagai antara syarikat penerbangan yang masih bertahan, mereka harus pantas merebut ruang dan peluang. 

“Ini akan membuktikan bahawa mereka komited dan membuktikan kepada Khazanah bahawa suntikan modal ini tepat serta berkesan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN