My Mama utama kebajikan pekerja - Utusan Malaysia

My Mama utama kebajikan pekerja

Seorang pekerja menunjukkan nasi kukus yang dijual di Restoran Nasi Kukus My Mama di Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pada ketika ini kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia mengalami kegawatan ekonomi akibat krisis ekonomi global berpunca daripada penularan pandemik Covid-19.
Ekoran kemelesetan ekonomi yang berlaku, ia menimbulkan masalah begitu besar dalam kalangan pihak majikan sehingga ada yang terpaksa mengurangkan jumlah pekerja.

Sehingga kini, pemberhentian pekerja merupakan satu isu yang hangat diperkatakan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Namun, bagi rangkaian Restoran Nasi Kukus My Mama, kebajikan dan mengekalkan pekerja sedia ada walaupun berlaku masalah ekonomi terus menjadi keutamaan syarikat berkenaan.

Azman Abdul Razak

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Abdul Razak berkata, Restoran Nasi Kukus My Mama mempunyai lapan cawangan di daerah Kuantan dan Pekan membabitkan 160 pekerja.

Jelasnya, biarpun pendapatan syarikat mengalami kemerosotan sehingga 70 peratus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula 18 Mac tahun lalu dan 50 peratus pada PKP 2.0 kali ini, syarikat terus mengekalkan pekerjanya.

“Restoran Nasi Kukus My Mama tidak memberhentikan pekerja kerana mereka ini terdiri daripada anak-anak muda, ibu tunggal dan suri rumah.

“Mereka bergantung sepenuhnya pendapatan dengan kerja di sini dan jika kita berhentikan mereka, bagaimana nasib mereka, keluarga mereka?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Azman bersyukur kerana restoran itu masih mampu berdikari dan mengekalkan kesemua pekerjanya kerana mempunyai simpanan masa depan.

“Cuba bayangkan perniagaan yang tiada simpanan, apa nasib mereka dan pekerja mereka? Tapi sampai bila kita mampu kekal bertahan?,” soalnya.

Menurutnya, mengembangkan perniagaan tentunya menjadi harapan seluruh peniaga termasuk syarikat berkenaan, namun dalam keadaan keme­lesetan ketika ini, keutamaan diberikan kepada aspek kebajikan dan mengekalkan pekerja sedia ada.

Beliau dalam pada itu berkata, ekoran penularan Covid-19 yang masih tidak diketahui bila akan berakhir, golongan peniaga kini resah memikirkan nasib mereka.

Beliau berkata, sampai bila golongan peniaga termasuk kedai makan mampu bertahan kerana penularan pandemiki Covid-19 tidak diketahui bila akan berakhir.

“Saya ketika ini tidur lewat antara pukul 3 ke 4 pagi memikirkan bebanan ketika ini.

“Restoran Nasi Kukus My Mama mempunyai lapan cawangan membabitkan 160 pekerja. Gaji pekerja setiap bulan keseluruhan berjumlah RM300,000 di tambah kos pembelian sebulan RM600,000,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan aktiviti dine-in atau makan dalam kawasan premis menjual makanan bermula 10 Februari lalu.

“Tentunya kita (pengusaha kedai makan) akan patuh dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Kita pasti bimbang berlaku penularan Covid-19 di kedai kerana risikonya kedai akan ditutup.

“Apabila premis dibenarkan dine-in, ia dapat membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan mereka dan semua yang terlibat dalam rantaiannya,” katanya.

Azman dalam pada itu turut meminta kerajaan melaksanakan program subsidi upah yang membantu majikan atau pengusaha kedai makan meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka selepas terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Semasa pelaksanaan PKP menyeluruh pada Mac tahun lalu, kita terima subsidi upah tetapi kini tidak lagi dan ia membebankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN