MNRB untung hampir 50% lebih tinggi 3Q2020 - Utusan Malaysia

MNRB untung hampir 50% lebih tinggi 3Q2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi untuk sembilan bulan pertama 2020 yang berakhir 31 Disember lalu.

Syarikat perkhidmatan kewangan itu mencatatkan keuntungan bersih RM140.15 juta, 48.5 peratus lebih tinggi berbanding RM94.37 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Untuk suku ketiga, syarikat itu merekodkan peningkatan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak 491.39 peratus daripada RM7.95 juta pada suku sama tahun sebelumnya kepada RM46.99 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, semua anak syarikatnya yang beroperasi kekal berdaya tahan dalam situasi pandemik yang mencabar.

“Semua anak syarikat yang beroperasi menunjukkan pres­tasi baik untuk menyumbangkan keuntungan bersih sembilan bulan tertinggi yang pernah dicapai MNRB Group.

“Malah, jumlah ini telah melepasi keuntungan bersih tahun penuh sebanyak RM132.9 juta yang dicatatkan dalam tahun kewangan sebelumnya,” kata­nya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Dalam pada itu, cabang perniagaan takaful am dan keluarga Kumpulan memberikan sumbangan yang signifikan dalam tempoh dilaporkan.

Takaful Ikhlas General Berhad merekodkan pertumbuhan siginifikan dengan peningkatan 36.5 peratus kepada RM318.5 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan dilaporkan berbanding RM233.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih syarikat penanggung insurans itu meningkat 65.7 peratus kepada RM22.2 juta daripada RM13.4 juta untuk tempoh berkenaan.

Prestasi Takaful Ikhlas Fa­mily Berhad pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus kepada RM450.8 juta daripada RM440.4 juta tempoh sebelumnya.

Bagaimanapun, keuntungan bersihnya susut 39.9 peratus kepada RM24.3 peratus daripada RM40.4 juta disebabkan kurangnya keuntungan nilai saksama dalam portfolio pelaburannya.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada pertumbuhan perniagaan takaful keluarga terutama disebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan yang mengehadkan pergerakan ejen-ejen kami, selain pinjaman yang perlahan oleh rakan-rakan Bancatakaful,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya