‘Cukup dividen, cukup kecairan’ - Utusan Malaysia

‘Cukup dividen, cukup kecairan’

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhadapan cabaran bagi memastikan agensi itu terus berdaya saing menghadapi waktu yang mencabar akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

KWSP menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan rakyat ketika pandemik kerana ramai yang berharap dapat mengeluarkan simpanan daripada dana persaraan itu untuk menghadapi krisis.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu, dua inisiatif utama yang dijalankan KWSP ialah program i-Lestari dan i-Sinar yang kedua-duanya melibatkan keizinan untuk pencarum mengeluarkan simpanan mereka.

Sehubungan itu, bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, Amir Hamzah bukan sahaja perlu memastikan pencarum mendapat dividen yang setimpal, malah agensi itu mempunyai kecairan yang cukup untuk menghadapi cabaran semasa mahupun akan datang.

“Cabaran beliau adalah bagaimana untuk memastikan KWSP sentiasa memberikan dividen yang tinggi kepada pencarum dan pada masa yang sama mempunyai cukup kecairan untuk membolehkan pencarum yang terjejas pendapatannya dapat mengeluarkan wang dari akaun melalui program i-Lestari dan i-Sinar.

“Beliau harus memastikan peruntukan aset strategik (SAA) yang menjadi panduan KWSP selama ini kekal memberikan pulangan pelaburan yang memuaskan setiap tahun dan pada masa yang sana memastikan objektif utama KWSP, iaitu menyediakan wang persaraan yang secukupnya kepada pencarum tercapai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Amir Hamzah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu KWSP bagi menggantikan Tunku Alizakri Alias berkuat kuasa 1 Mac ini.

Beliau sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak April 2019.

Tempatnya di TNB akan diambil alih Datuk Ir. Baharin Din yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian syarikat tenaga itu berkuat kuasa 1 Mac ini.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menganggap Amir Hamzah berhadapan cabaran besar di KWSP untuk memastikan pencarum mempunyai wang persaraan yang cukup.

“Apabila i-Lestari dan i-Sinar dilancarkan, jumlah tabungan pencarum akan menjadi lebih kecil dan pada masa ini, 54 peratus daripada pencarum yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

“Ini bermakna majoriti pencarum masih lagi tidak mempunyai wang persaraan yang secukupnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, pihaknya dengan berat hati mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Tunku Alizakri yang secara keseluruhannya berkhidmat dengan agensi itu selama tujuh tahun, bermula dengan jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan seterusnya Ketua Pegawai Eksekutif.

“Wawasan, semangat dan komitmen Tunku Alizakri kepada semua pemegang taruh KWSP, terutamanya ahli kami, ialah bukti keinginan KWSP ke arah pencepatan digital dan keberkesanan operasi, pengamalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemampanan sebagai metrik utama selain memperkasa agenda perlindungan sosial dan kesejahteraan.

“Bagi pihak KWSP, saya menyampaikan rasa penghargaan kepada Tunku Alizakri atas khidmat penuh teladannya kepada KWSP dan mendoakan kejayaannya pada masa hadapan.

“Pada masa sama, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Amir Hamzah atas pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu KWSP,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Badri berkata, dengan pengalaman luasnya dalam dunia korporat, KWSP menantikan kepemimpinan tertumpu serta dinamik Amir Hamzah untuk menerajui agensi tersebut melalui tempoh yang rumit serta mencabar ketika ini.

Amir Hamzah mempunyai pengalaman 25 tahun dalam dunia korporat. Beliau memulakan kerjayanya di Kumpulan Syarikat Shell sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icons Offshore Berhad, Themed Attractions Resorts dan Hotels Sdn. Bhd.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan dengan pengkhususan dalam bidang Kewangan dan Ekonomi dari Universiti Syracuse, New York. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN