UiTM miliki, kendali dua LSSPV - Utusan Malaysia

UiTM miliki, kendali dua LSSPV

Stesen janakuasa solar berskala besar kedua milik Universiti Teknologi Mara di Pasar Gudang, Johor, membolehkan universiti itu menjana pendapatan yang mampan pada masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang memiliki dan mengendalikan dua stesen janakuasa solar berskala besar (LSSPV).

Ini susulan kejayaan UiTM memulakan operasi komersial stesen LSSPV keduanya di Pasir Gudang, Johor. Kejayaan itu membolehkan UiTM menjana tenaga hijau dengan kapasiti 75MWac (92.58 MWp).

Peningkatan kapasiti itu juga membolehkan UiTM tergolong bersama universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of California, Stanford University dan University of Queensland yang juga memiliki dan mengendalikan LSSPV.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, keputusan untuk memiliki beberapa stesen LSSPV merupakan sebahagian daripada usaha universiti agar mencapai tahap neutral karbon di samping menjana pendapatan mampan.

“Stesen LSSPV baharu ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga solar universiti yang kini berupaya menjana 61MWp menerusi stesen LSSPV pertama di Gambang, Pahang yang telah memulakan operasi komersial pada April 2019.

“Tambahan pula, pelan pembangunan sistem penjanaan tenaga solar di kampus-kampus UiTM berkapasiti 66MW dijangka memulakan operasi komersial pada penghujung 2022.

“UiTM dijangka akan menjana tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan cukup untuk menampung keperluan elektrik tahunan universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek stesen janakuasa LSSPV dikenali sebagai UiTM Solar Park II (USP II), dibangun dan dikendalikan oleh UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya iaitu UiTM Solar Power Dua Sdn. Bhd. (USPDSB).

Fasiliti itu dibina di atas tanah berkeluasan 112 ekar dan dijangka menyumbang kepada penghindaran pelepasan 28,000 tan karbon dan berkeupayaan menjana 40,000 MWh tenaga bersih setahun.

Kos pembangunan USP II ialah kira-kira RM125 juta dan telah memulakan operasi komersial pada 2 Disember lalu.

Pembangunan itu mengambil tempoh selama 11 bulan, termasuk kelewatan dan penanggguhan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Pembangunan tersebut disempurnakan menerusi kerjasama dengan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), SPIC Energy Malaysia Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya