KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada sekitar RM3,400 setiap tan untuk suku pertama tahun ini.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan harga tinggi tersebut disokong beberapa faktor seperti permintaan yang kekal tinggi daripada negara pengimport utama serta pengeluaran yang kekal rendah.
“Harga MSM untuk suku pertama tahun ini dijangka kekal tinggi atas beberapa faktor seperti permintaan yang kekal tinggi daripada negara pengimport utama iaitu China.
“Selain itu, pengeluaran minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia tidak akan meningkat tinggi disebabkan faktor cuaca dan penanaman semula serta pengeluaran minyak sayur yang terjejas akibat faktor cuaca,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harga MSM mencapai paras tertingginya untuk 2020 pada 24 Disember lalu apabila mencatat harga RM3,835.50 setiap tan.
Sejak 10 November, harga MSM Malaysia berada pada paras RM3,400 setiap tan dengan data terakhir pada 29 Disember mencatatkan harga RM3,788 setiap tan.
Walau bagaimanapun, menurut Ahmed Razman, permintaan terhadap minyak sawit tahun ini tetap berpotensi terjejas dan ia bergantung kepada sikap pengimport terhadap minyak sawit Malaysia.
“Permintaan terhadap minyak sawit boleh terjejas tahun ini disebabkan polisi negara India yang mahu mengutamakan minyak sayurnya.
“Begitu juga permintaan yang berkurangan dari negara pengimport seperti Eropah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, sekatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad serta anak syarikatnya tidak akan menjejaskan permintaan minyak sawit negara secara keseluruhannya.
“Sekatan AS terhadap Sime Darby Plantations tidak akan menjejaskan harga MSM kerana AS bukanlah pengimport utama minyak sawit negara.
“Kes ini hanyalah kes terpencil untuk Sime Darby Plantation sahaja. Selain itu, negara pengimport lain tidak akan mengikut jejak langkah AS ini,” katanya.
Minggu lalu, AS mengumumkan mengenakan sekatan tersebut susulan siasatan yang dijalankan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).
Ia berikutan petisyen yang difailkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan firma guaman selepas mendapati wujud unsur buruh paksa dalam sektor perladangan di Malaysia dan Indonesia. – UTUSAN










