KUALA LUMPUR: Kestabilan politik boleh menjadi punca beberapa pelabur asing meninggalkan Malaysia dan memilih negara jiran seperti Indonesia.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, politik Indonesia dilihat lebih stabil sekali gus membolehkan kerajaannya menumpukan pertumbuhan ekonomi negara dengan merangka pelbagai dasar dan undang-undang yang menggalakkan pelaburan asing.
“Kesilapan Malaysia mungkin kerana kerajaan kita tidak stabil dan sibuk berpolitik untuk menjaga kepentingan diri sendiri serta parti masing-masing menyebabkan kita hilang fokus untuk memahami kehendak pelabur asing.
“Walaupun kita sebenarnya sudah melancarkan Dasar Automotif Negara 2020, tiada tindakan susulan untuk memastikan pelabur asing terutamanya pengeluar kereta datang ke negara kita untuk melabur,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahmed Razman mengulas tindakan syarikat pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai Motor Corporation memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Malaysia ke Indonesia.
Menurut beliau, berita perpindahan tersebut akan memberi impak kepada syarikat pengeluar kereta antarabangsa serta syarikat pembekal komponen kereta yang pastinya lebih cenderung untuk melabur di Indonesia.
“Apa yang Malaysia perlu lakukan adalah memastikan sektor industri yang lain tidak mengalami nasib sama.
“Ini boleh dicapai apabila negara diperintah oleh kerajaan yang stabil supaya tidak lagi berlaku lobi-melobi (politik) menyebabkan matlamat utama kerajaan memakmurkan negara tidak tercapai,” katanya.
Ahmed Razman berkata, Malaysia tidak ketinggalan dalam semua sektor berbanding negara-negara jiran dan masih ada harapan untuk negara memacu potensinya sebagai destinasi pelaburan dunia.
“Untuk sesetengah industri seperti perkilangan permotoran, mungkin Malaysia sudah ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia.
“Namun, ada beberapa sektor industri yang Malaysia masih lagi ada peluang untuk ke hadapan seperti industri aeroangkasa. Usaha berterusan harus dilakukan untuk memastikan pelabur melihat Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelbagai sektor industri,” katanya. – UTUSAN










