KUALA LUMPUR: Bagi menghadapi krisis seperti dialami ketika ini, kerajaan mesti berani berbelanja lebih bagi membantu rakyat yang sedang dalam kesempitan.
Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram berkata, tingkat hutang negara yang tinggi dan penarafan agensi asing mesti diketepikan buat sementara.
Ini bagi memastikan kerajaan dapat terus membantu rakyat yang menjadi mangsa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain untuk membiayai usaha pemulihan lain yang perlu.
“Apa sebabnya sesetengah kerajaan tidak mahu berbelanja? Mereka takut meminjam untuk berbelanja, dan akibatnya, taraf kredit terjejas.
“Ada agensi penarafan peringkat dunia yang menguasai nasib negara-negara dengan menentukan taraf masing-masing.
“Jangan kita menjadi hamba mereka. Seluruh dunia berbelanja lebih dengan meminjam, hanya segelintir negara membangun yang teragak-agak kerana takut bayang mereka yang cuba menjadi dalang dunia kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komennya dalam forum maya Ekonomi PKP Darurat: Buka Atau Tutup? yang disiarkan dalam laman Facebook DialektikaTV kelmarin.
Menurut Jomo, perkara sama pernah berlaku kepada negara ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997-1998. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Kewangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berbelanja lebih ketika itu demi mengatasi kemerosotan akibatnya.
“Kita harus lawan kitaran, berbelanja lebih dalam keadaan merosot tetapi bukan selama-lamanya. Apabila ekonomi melambung, seperti pada awal dan pertengahan 1990-an, hasil cukai melebihi perbelanjaan,” katanya.
Menurut beliau, apa yang penting dilakukan kerajaan ketika ini ialah menyampaikan bantuan kepada mangsa yang tidak berdosa dan terhadap rakyat yang terjejas.
“Tiga hari lalu, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan beliau akan meningkatkan bantuan kepada rakyat AS daripada AS$600 (RM2,425.50) kepada AS$2000 (RM8,057).
“Memang Malaysia, seperti AS, sudah banyak meminjam selama ini. Tetapi dalam keadaan seperti ini, mereka mengambil langkah yang padan untuk mengatasi kemungkinan kemerosotan berpanjangan (yang berpotensi) menjadi kemelesetan, ancaman utama yang kita hadapi,” katanya. – UTUSAN










