Jack Ma muncul selepas dua bulan - Utusan Malaysia

Jack Ma muncul selepas dua bulan

Kejayaan Jack Ma membina empayar perniagaan dan kekayaan dalam bidang teknologi melalui Alibaba Group menjadikan kemunculannya sentiasa mendapat perhatian dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Pengasas Alibaba Group, Jack Ma semalam, me­ngadakan pertemuan dengan kira-kira 100 guru dari kawasan luar bandar melalui satu sidang video, lapor media tempatan.

Kemunculan itu adalah yang pertama Ma selepas bilionair itu dilaporkan ‘hilang’ selepas tidak muncul di khalayak sejak Oktober tahun lalu.

Pertemuan Ma dengan guru-guru itu dilaporkan oleh portal berita prokerajaan, Tianmu News, melalui Zhejiang Online.

Ma, bekas guru bahasa Inggeris dilaporkan turut menyam­paikan kata-kata semangat kepada kumpulan guru berkenaan. Menurut beliau, pertemuan itu biasa diadakan di Sanya, selatan Hainan, tetapi terpaksa dibuat secara dalam talian berikutan wabak Co­vid-19.

Kehilangan Ma sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehingga ada yang mendakwa, beliau ditahan oleh pihak berkuasa China berikutan kritikannya mengenai dasar dan sistem kewangan negara komunis itu.

Ia berikutan tindakan pihak berkuasa China menjalankan siasatan ke atas perniagaan dan kewangan syarikat Ant Group dan Alibaba Group Holdings Ltd., diterajui oleh Ma.

Ma terus menarik perhatian selepas pihak berkuasa China menggantung tawaran permulaan awam (IPO) Ant di bursa Hong Kong dan Shanghai, dianggarkan bernilai AS$35 bilion (RM141.53 bilion), selain memperketatkan peraturan ke atas syarikat-syarikat teknologi kewangan (fintech).

Pihak berkuasa China juga dilaporkan telah melancarkan siasatan dakwaan rasuah ke atas Alibaba Group.

Tindakan ke atas empayar perniagaan Ma dilakukan selepas Beijing menyifatkan ia semakin ‘berpengaruh’ dan boleh memberi kesan kepada negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

China juga dilihat mula ‘hilang sabar’ ke atas kemunculan syarikat-syarikat teknologi berskala besar di negara itu yang dianggap mula menjadi ancaman kepada ekonomi dan pengaruh politik Presiden Xi Jinping.

Alibaba sebelum ini menolak dakwaan Ma telah ditahan atau dikenakan perintah tahanan rumah oleh pihak berkuasa, de­ngan mengatakan bilionair itu hanya ‘berehat’ daripada muncul di khalayak.

Sementara itu, kemunculan semula Ma telah mendorong kenaikan harga saham Alibaba di Bursa Hang Seng, Hong Kong. Dalam sesi dagangan semalam, saham syarikat tersebut naik 8.52 peratus kepada HK$265 (RM138.27) sesaham selepas berita kemunculan semula Ma tersebar.

Berita tersebut memberi keyakinan kepada pelabur me­ngenai kedudukan pemilik Alibaba itu selepas beliau mengkritik sistem kewangan China. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya