KUALA LUMPUR: Setelah beberapa bulan sektor pelancongan dan perhotelan bernafas, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pertumbuhan sektor tersebut kembali terbantut.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lin Seng berkata, industri perhotelan dijangka hilang pendapatan sekurang-kurangnya RM300 juta setiap dua minggu selama PKP dilaksanakan.
“Sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020, lebih kurang 90 hotel telah ditutup. Ada yang tutup sepenuhnya dan ada juga yang hanya tutup buat sementara sehingga situasi industri pelancongan pulih semula.
“Permulaan 2021 ini juga sudah teruk, kadar penginapan hotel dianggarkan kurang 20 peratus untuk suku pertama tahun ini.
“Keadaan industri turut bergantung kepada kelonggaran PKP dan pembukaan semula sempadan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, jika berterusan, sektor perhotelan diramalkan kekal suram sehingga hujung tahun ini dan kemungkinan besar kadar penginapan tidak akan melebihi 30 peratus.
Mengulas lanjut, Lin Seng memberitahu, MAH mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan mereka dianggarkan sudah kehilangan pendapatan kira-kira RM6.5 bilion pada tahun lepas berikutan pandemik Covid-19 yang masih menular.
“Bagi mengawal masalah ini, MAH sudah lama meminta kerajaan untuk menaikkan kadar subsidi upah sehingga 50 peratus untuk yang bergaji RM4,000 dan 30 peratus bagi yang bergaji hingga RM8,000.
“Itu adalah satu-satunya cara untuk melindungi industri dan pekerja. Selain itu, industri perhotelan juga memerlukan diskaun bil elektrik dan air yang lebih tinggi iaitu sebanyak 50 peratus,” katanya.
Lin Seng berkata, tidak salah pihaknya meminta pengurangan itu berikutan pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memperoleh keuntungan sebanyak RM2.4 bilion untuk tempoh Januari hingga September 2020, sementara industri pelancongan mengalami kerugian sehingga sekarang.
Katanya, sejak pembukaan semula sektor pelancongan pada 7 Disember 2020, industri telah melihat kadar penginapan hotel meningkat sehingga kira-kira 43 peratus dengan harga bilik yang lebih rendah, anggaran diskaun antara 30 hingga 70 peratus.
“Namun, apabila PKP serta sekatan pergerakan antara negeri berkuat kuasa bermula 13 Januari lalu, industri perhotelan telah menerima pembatalan tempahan bilik dari seluruh negara.
“Kadar penginapan hotel dijangka jatuh ke tahap bawah 20 peratus, seperti pada masa PKP tahun lalu,” katanya.
Lin Seng memberitahu, tahun lalu, sekurang-kurangnya enam peratus pekerja sektor berkenaan telah diberhentikan selain diberi cuti tanpa gaji dan potongan gaji dengan angka itu dijangka lebih tinggi tahun ini.
“Program subsidi gaji yang tinggi sangat diperlukan untuk memastikan perniagaan hotel dan pelancongan terus berjalan, tanpanya lebih ramai yang terpaksa diberhentikan.
“Jika terus diabaikan, Malaysia akan terus kehilangan daya saing, bakat dan kemampuan industri ini untuk pulih. Kami hanya ada sedikit harapan untuk bertahan,” katanya. – UTUSAN










