CR Khan sasar perluas pasaran - Utusan Malaysia

CR Khan sasar perluas pasaran

KHAIRUL Najib bersama ibunya, Hajara Bibi Asansi menunjukkan produk sejuk beku CR Khan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSPIRASI NIAGA

JEMPOL: Jenama roti canai sejuk beku, CR Khan menyasarkan untuk memperluas perniagaan dengan memiliki ejen di setiap daerah di Negeri Sembilan.

Pengusahanya, Khairul Najib Asarulah Khan, 29, berkata, dia kini baru sahaja mengeluarkan empat lagi produk di bawah jenama berkenaan iaitu roti canai pedas, capati, roti paratha dan roti boom menjadikan syarikat berkenaan kini memiliki lima produk sejuk beku untuk dipasarkan.

Katanya, CR Khan kini memiliki empat orang ejen iaitu di Senawang dan tiga lagi di Selangor iaitu di Kelana Jaya, Klang dan juga Kajang.

“Buat masa ini saya hanya mampu memasarkannya di kedai dan pasar raya berhampiran seperti di sekitar Jempol, Kuala Pilah dan juga Sendayan.

“Memang ada permintaan seperti di Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah namun saya masih belum mampu memenuhi permintaan berkenaan memandangkan bimbang produk rosak dalam perjalanan jauh lebih-lebih lagi produk ini tidak menggunakan sebarang pengawet,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bengkel Lot Kedai Frozen, Jalan Raja Alias, Felda Raja Alias 1, dekat sini baru-baru ini.

Bagaimanapun menurutnya, dia tidak menolak untuk memasarkan produk berkenaan di negeri lain selain di Negeri Sembilan melalui bantuan ejen.

“Selain sasaran ejen di setiap daerah, kami juga dalam proses perancangan untuk menyediakan doh roti canai buat pengusaha dan pekedai bagi memudahkan jualan mereka bermula awal tahun hadapan,” katanya.

Khairul Najib yang merupakan bekas wartawan sementara itu berkata, idea bagi mengembangkan lagi perniagaan yang dimulakan oleh ibu bapanya, Asarulah Khan Mustaffa, 63, dan Hajara Bibi Asansi, 59, itu timbul selepas melihat permintaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Ketika itu saya masih bekerja dan hanya boleh membantu semasa cuti sahaja. Namun selepas kehilangan pekerjaan saya mula memfokuskan kepada perniagaan roti canai sejuk beku ini dan mencari peluang pasarannya.

“Jika sebelum ini hanya 10 kilogram tepung sahaja dalam sehari bagi penghasilan roti canai sejuk beku digunakan tetapi kini setiap hari kecuali Ahad sebanyak 30 kilogram tepung digunakan bagi menghasilkan 129 paket yang di dalamnya terdapat lima keping roti canai,” katanya.

Tambahnya, walaupun idea mengembangkan perniagaan berkenaan timbul semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia berasa bertuah kerana produk berkenaan mempunyai ramai pelanggan setia.

“Ayah saya sudah memulakan perniagaan kedai makan termasuk roti canai di kediaman kami di Felda Raja Alias sejak tahun 1988. Resepi daripada tiga generasi berkenaan akhirnya diturunkan kepada kami di generasi kelima keluarga,” katanya.

Malah menurutnya yangmerupakan peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2018, roti yang dihasilkan juga masih kekal lembut walaupun sudah melalui proses sejuk beku.

“Semasa peringkat awal berkenaan, keseluruhan pemprosesan roti canai adalah secara manual seperti menguli, membuat doh roti, tebar, pembakaran, penyejukkan dan pembungkusan,” katanya.

Jelas Khairul Najib, ekoran permintaan yang semakin meningkat pihaknya juga menjalin kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi memastikan produk berkenaan dapat dipasarkan dengan lebih meluas lagi.

“Hasil kerjasama produk keluaran CR Khan sudah dibawa ke makmal untuk diperiksa kualitinya selain menyenaraikan nutrisi makanan selain beberapa bimbingan lain.

“Pada tahun 2014, pemprosesan roti canai sudah beralih pada separa teknologi dengan menggunakan mesin seperti menguli tepung roti canai dan kini mempunyai lima produk untuk ditawarkan kepada pelanggan. Produk keluaran CR Khan boleh didapati dengan harga serendah RM5.50 sehingga RM11,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×