Kemunculan enjin carian memainkan peranan besar dalam pengembangan dunia digital. Ia mempengaruhi perubahan trend pasaran, tingkah-laku pengguna dan gaya hidup masyarakat seluruhnya. Jika satu masa dahulu, kita memerlukan banyak masa dan kos untuk mendapatkan sesuatu maklumat melalui rujukan direktori tertentu atau ke perpustakaan, kini segalanya hanya di hujung jari.
Melalui enjin carian seperti Google, ia menjadi platform pilihan terbaik dalam memudahkan carian maklumat di serata dunia. Hanya dengan mengisi perkataan tertentu untuk sesuatu informasi yang ingin dicari, kita boleh mendapatkan beribu rujukan yang relevan dengan pantas.
Bagi para usahawan, potensi enjin carian ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk mencari maklumat, tetapi turut menjadi landasan dalam mengembangkan lagi potensi pasaran. Terdapat beberapa kaedah yang berkesan dalam menyerlahkan kredibiliti perniagaan melalui enjin carian agar informasi yang di ketengahkan dapat ditemui dengan mudah oleh prospek pasaran.
Membangunkan laman sesawang. Memiliki laman sesawang menjadi kepentingan bagi sebahagian besar perniagaan pada hari ini. Walaupun terdapat pengembangan saluran media sosial yang semakin mesra pengguna, laman sesawang masih terus menjadi pilihan dominan dalam memenuhi pelbagai keperluan urusan dalam talian bagi segenap sektor industri.
Pada masa kini, laman sesawang boleh dibangunkan dengan kos yang rendah berbanding kemampuannya menyimpan kandungan serta potensi capaian enjin carian untuk pelbagai tujuan pemasaran. Ia boleh dimulakan melalui platform asas blog yang boleh didaftarkan secara percuma, tetapi bagi menyokong optimasi enjin carian dan kebaikan jangka panjang perniagaan, adalah disarankan menggunakan platform Content Management System (CMS) dengan layanan hosting yang baik.
Laman sesawang juga boleh memuatkan halaman e-dagang serta berfungsi sebagai premis dalam talian bagi memudahkan urusan pelanggan. Di samping itu, ia turut menjadi landasan dalam mengembangkan lagi prospek pelanggan melalui kata carian tertentu dalam menyokong promosi dan jualan.
Artikel blog selaras niche perniagaan. Setiap laman sesawang juga mempunyai ruangan blog untuk mengetengahkan pelbagai artikel tentang perniagaan, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Melalui penerbitan artikel secara berkala yang selaras dengan niche perniagaan dapat meluaskan lagi prospek capaian organik melalui senarai hasil carian orang ramai.
Berdasarkan Yoast SEO, enjin carian seperti Google mempunyai kecerdasan buatan (AI) yang mampu menganalisis dan mengenal pasti kepakaran sesebuah perniagaan melalui kompilasi artikel blog yang di ketengahkan untuk disenaraikan dalam carian sasaran. Ia membantu meningkatkan authority laman sesawang agar lebih mudah ditemui melalui pelbagai kata kunci terkait dengan perniagaan anda.
Mendaftar Google My Business. Salah satu inisiatif percuma yang disediakan oleh Google kepada para usahawan adalah ruangan untuk mendaftarkan perniagaan anda di Google My Business. Ia membantu dalam menyokong carian tempatan (local search) yang lebih baik. Kajian SEO Local Guide turut menjelaskan kepentingannya dalam memudahkan informasi carian kepada prospek yang tepat.
Melalui Google My Business, anda boleh menyenaraikan pelbagai maklumat perniagaan merangkumi gambar, peta lokasi (google maps), waktu perniagaan termasuk review pelanggan sebagai testimoni dan portfolio. Pautan ke laman sesawang dan e-dagang juga boleh disertakan bagi mendorong prospek mendekati perniagaan anda disamping memperkukuh hubungan pelanggan.
Justeru itu, melaksanakan tiga kaedah ini menjadi elemen asas dalam menyerlahkan kredibiliti perniagaan melalui enjin carian. Potensi enjin carian juga akan terus berkembang bukan sekadar lapangan mencari maklumat, tetapi menjadi rujukan marketplace dalam kepentingan era internet kebendaan kini dan masa hadapan.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










