Seperti jangkaan banyak pihak, dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) tahun ini, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ia dilaporkan, terendah sejak penubuhan unit amanah tersebut pada 1990.
Banyak yang kecewa dengan prestasi tersebut kerana mengharapkan pulangan lebih tinggi. Mungkin mereka mengharapkan dividen yang diperoleh boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain. Terutama dalam tempoh sukar sekarang.
Pun begitu, penghargaan patut diberikan kepada pengurus unit, Permodalanan Nasional Berhad (PNB) kerana terus komited memberikan pulangan dividen yang kompetitif kepada 10.2 juta pemegang unit berbanding simpanan tetap di bank-bank, di sebalik keadaan ekonomi negara dan global yang mencabar akibat Covid-19.
Selepas ASB, tumpuan terarah kepada simpanan di Tabung Haji (TH) dan caruman dalam Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP kelmarin mengumumkan pendapatan pelaburan kasar suku ketiga berakhir 30 September 2020, RM17.33 bilion.
Pendapatan pelaburan bersih dana pencen terbesar negara itu bagi tempoh dikaji pula RM16.87 bilion. Dengan pencapaian itu, pasti rata-rata pencarum meletakkan harapan ‘melangit’ agar dividen yang bakal diumumkan nanti adalah yang terbaik, mengetepikan persekitaran pelaburan dan ekonomi tahunan semasa yang menghimpit.
Ini belum mengambil kira susut nilai caruman akibat dikeluarkan sebelum ini, sama ada melalui i-Letari, i-Sinar dan lain-lain, yang pastinya menjejaskan pulangan dividen. Harapan sama pasti diletakkan kepada hibah TH.
Melihat senario ekonomi dunia dan tempatan dengan Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) yang tumbuh negatif dalam suku ketiga (-2.7 peratus) dan kedua (-17.1 peratus), dan dijangka kekal negatif pada suku keempat, tidak banyak yang boleh diharapkan sebenarnya oleh pelabur dalam instrumen simpanan rendah risiko seperti ASB, TH dan KWSP.
Adalah wajar untuk pelabur mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pelbagai instrumen sekiranya mahukan pulangan lebih tinggi. Banyak instrumen pelaburan yang ada termasuk emas. Dalam konteks KWSP, dana pencen itu membenarkan ahli-ahlinya mengeluarkan sebahagian simpanan mereka untuk dilaburkan dalam institusi yang dikawal selia.
Jadi, rancanglah wang simpanan anda untuk pulangan yang lebih lumayan demi kesejahteraan masa hadapan.
Yulpisman Asli adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










