MTC majukan industri kayu-kayan - Utusan Malaysia

MTC majukan industri kayu-kayan

Muhtar Suhaili menerangkan roadmap MTC bagi tempoh 2019 hingga 2023 untuk memacu industri perkayuan negara kepada wartawan Utusan Malaysia, Ku Syafiq Fozi di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara sumber terpenting ekonomi negara

MUNGKIN tidak ramai rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang industri kayu-kayan negara, namun ia tidak sesekali mengurangkan kepentingannya kepada ekonomi negara.

Walaupun kurang mendapat perhatian masyarakat mahupun media, kayu-kayan ialah komoditi ketiga terbesar negara selepas kelapa sawit dan getah.

Pada 2019, industri berkenaan menyumbang RM22.5 bilion atau 1.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada ekonomi Malaysia. Dari segi eksport pula, ia merangkumi 2.3 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun sama.

Lebih penting lagi, dengan pelaburan berjumlah RM707.8 juta pada 2019 dan pasaran domestik bernilai RM20.8 bilion, industri ini menyumbangkan lebih 50,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Di sebalik angka-angka besar itu, berdiri Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) sebagai penggerak utama industri tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili, MTC berperanan menggerakkan promosi dan pemasaran kayu-kayan baik dalam mahupun ke luar negara selain menaungi persatuan-persatuan berkaitan kayu-kayan di negara ini.

Untuk menjalankan fungsinya dengan lebih berkesan, MTC juga mempunyai lima pejabat wilayah di seluruh dunia iaitu di Houston, Amerika Syarikat (AS) untuk mengendali pasaran AS; Rotterdam, Belanda untuk pasaran Eropah; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk pasaran Asia Barat dan Afrika; Bengaluru, India untuk pasaran Asia Selatan dan Guangzhou, China untuk pasaran Asia Timur.

Mengendali agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu bukanlah mudah, namun itulah cabaran yang perlu dihadapi Muhtar sejak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 November lalu.

“Saya terlibat dengan industri yang pelbagai sebelum ini. Selepas graduasi, saya bekerja dengan Perodua dalam industri automotif. Kemudian, saya bersama Shell dalam industri minyak dan gas selama 15 tahun.

“Selepas itu, saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), industri kelapa sawit dan kini, saya dalam industri keempat dalam kerjaya saya.

“Kayu-kayan ini bagi saya satu industri yang sudah lama dan saya percaya ia akan kekal relevan untuk membantu ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Menara PGRM, di sini baru-baru ini.

Walaupun baru sebulan setengah memegang jawatan tersebut, Muhtar sudah meletakkan fokus untuk MTC, terutamanya dalam usaha mereka mencapai sasaran jangka pendek agensi itu bagi memastikan industri kayu-kayan terus relevan dan dapat menyumbang sebanyak mungkin kepada negara.

Untuk itu, beliau menetapkan tujuh sasaran jangka pendek untuk 2021 yang melengkapkan hala tuju lima tahun MTC yang dirangka sebelum ini.

Malaysia menghasilkan pelbagai produk kayu berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Tujuh sasaran tersebut merangkumi usaha menyokong program penggantian perniagaan; menambah sumber bahan mentah; memupuk akses pasaran; menjuarai program reka bentuk dan penjenamaan; meningkatkan automasi proses perniagaan; memacu inisiatif hijau yang mampan serta memperkukuh hubungan dengan pemegang taruh.

Cabaran yang lebih besar yang perlu dihadapi Muhtar adalah menerajui MTC ketika pandemik Covid-19 menyerang. Menurut beliau, disebabkan permintaan global yang terjejas, beberapa segmen seperti eksport mengalami penurunan.

“Tahun ini sehingga September, eksport produk kayu-kayan Malaysia mengalami penurunan sebanyak 4.3 peratus kepada RM15.7 bilion.

“Kami jangka sumbangan industri ini kepada ekonomi tahun ini akan lebih rendah daripada tahun lepas, tetapi masih di atas paras RM20 bilion,” katanya.

Di sebalik itu, beliau menyatakan komitmen untuk meningkatkan prestasi industri kayu-kayan bagi menghadapi cabaran-cabaran lain selain pandemik.

“Cabaran yang berterusan ialah bahan mentah. Memang bahan mentah daripada hutan asli berkurangan. Mahu tidak mahu, kita perlu usahakan sumber baharu iaitu ladang hutan.

“Kerajaan memperuntukkan RM500 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk perladangan hutan dan di pihak MTC sendiri, kami memberi galakan kepada syarikat berpotensi untuk penanaman ladang hutan.

“Dengan usaha perladangan hutan, kita boleh selesaikan masalah sumber bahan mentah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya