Ekonomi kembali pulih 2021 - Utusan Malaysia

Ekonomi kembali pulih 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi negara dijangka terus menempuh fasa pemulihan dan berkembang pesat sehingga tujuh peratus tahun hadapan berbanding penguncupan 4.8 peratus tahun ini susulan prospek pengawalan berkesan penularan Covid-19.

Unjuran yang dikeluarkan oleh MIDF Research itu juga selari dengan julat ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan iaitu antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

Menurut Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim, jangkaan itu sebahagian besarnya dipacu oleh pemulihan dalam penggunaan swasta di samping peningkatan perbelanjaan perniagaan.

Pada masa yang sama, Abdul Mui’zz berkata, permintaan luaran juga bakal menyediakan sokongan kepada pertumbuhan eksport negara yang bakal berkembang 5.3 peratus 2021 selepas dijangka susut 3.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan terbesar iaitu RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021 yang menyaksikan dana signifikan berjumlah RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi projek infrastruktur turut menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2021.

“Pengembangan akan dapat dilihat dalam semua sektor ekonomi daripada perkhidmatan yang menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara hinggalah kepada sektor pembinaan yang akan menyaksikan pertumbuhan tertinggi iaitu 17.7 peratus tahun hadapan.

“Pemulihan ekonomi berte­rusan yang menyebabkan akti­viti perniagaan dapat berope­rasi akan menyaksikan kadar pengangguran menurun kepada 3.6 peratus penghujung 2021.

“Hal sama akan dapat dilihat dalam perbelanjaan pengguna yang dijangka melonjak menerusi inisiatif kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat,” katanya dalam taklimat media Tinjauan Pasaran 2021 MIDF secara maya semalam.

Dalam pada itu, Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof menjangkakan, sektor berasaskan komoditi akan mengalami peningkatan berbanding tahun ini dengan harga minyak mentah Brent secara purata berada pada kadar AS$51 (RM207.70) setong dan minyak sawit mentah pula pada harga RM2,700 setan.

Beliau berkata, kadar dasar semalaman (OPR) pula di­jangka dinaikkan sehingga 25 mata asas menjelang penghujung 2021 kepada 2.0 peratus berbanding 1.75 peratus ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya