AWER gesa teruskan penstrukturan semula IWK - Utusan Malaysia

AWER gesa teruskan penstrukturan semula IWK

AWER menggesa Kementerian Kewangan meneruskan pelaksanaan model penstrukturan semula IWK yang telah dipersetujui sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2006.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membantah langkah pelupusan saham Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) kepada syarikat Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Presidennya, S. Piarapakaran berkata, Kementerian Kewangan perlu menghentikan langkah tersebut dan meneruskan pelaksanaan model penstrukturan semula IWK yang telah dipersetujui sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2006.

“Penswastaan industri perkhidmatan air (rawatan, bekalan dan perkhidmatan pembentungan) adalah kegagalan yang terbukti dan dicatat dengan jelas dalam sejarah Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kelmarin, Ranhill dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia menyatakan mereka menerima tawaran pelupusan saham IWK daripada Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Menurut syarikat itu, ia susulan cadangan penstrukturan semula IWK olehnya yang diserahkan pada 26 Jun yang turut melibatkan pengambilalihan IWK oleh Ranhill.

Mengulas lanjut, Piarapakaran mempersoal peranan kementerian yang menjaga hal ehwal air termasuk pembentungan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang tidak berbuat apa-apa berkenaan perkara tersebut.

Kata beliau, kesibukan kerajaan menangani ancaman pandemik Covid-19 telah membuka ruang untuk pelobi memanfaatkan peluang memastikan penswastaan IWK yang telah dirancang sekian lama menjadi kenyataan.

Tambah beliau, ini bukan percubaan pertama untuk mengambil alih IWK. Pada 2011, AWER turut menentang rancangan penswastaan syarikat pembentungan itu dan kerajaan menghentikan langkah tersebut.

Jelas Piarapakaran, penggabungan komponen perawatan air, bekalan air dan pembentungan dilihat sebagai model terbaik untuk memastikan kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar setelah membandingkan banyak model di seluruh dunia.

“AWER menggesa Menteri Kewangan dan Kabinet untuk masuk campur dan tidak membiarkan cadangan penswastaan IWK ini diteruskan.

“Kita perlu melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara yang sebenar untuk memastikan jaminan air tercapai.

“Sebarang pemesongan hanya akan mengancam jaminan bekalan air di Malaysia dan akan menelan belanja lebih tinggi pada masa hadapan untuk mengatasi masalah-masalah yang akan timbul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya