AS rayu keputusan mahkamah - Utusan Malaysia

AS rayu keputusan mahkamah

TIKTOK menjadi antara platform media sosial paling berpengaruh untuk pemasaran digital . – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat semalam membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah daerah yang menye­kat Jabatan Perdagangan daripada membuat sekatan ke atas aplikasi video pendek milik China, TikTok.

Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan melarang penggunaan aplikasi itu di negara terbabit.

Pentadbiran Presiden Do­nald Trump berkata, penggunaan TikTok mempunyai risiko keselamatan nasional kerana mendakwa, data peribadi pengguna di negara terbabit dapat diperolehi oleh pemerintah China.

Namun, TikTok yang mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna di AS menolak dakwaan tersebut.

Pada 7 Disember lalu, Hakim Mahkamah Daerah di Washing­ton, Carl Nicholas, mengeluarkan perintah menghalang Jabatan Perdagangan mela­rang data AS digunakan untuk perkhid­matan TikTok.

“Perkhidmatan penghantaran kandungan dan transaksi teknikal lain oleh ByteDance akan menghalang penggunaan TikTok di AS. Perintah Nicholas itu dibawa ke Mahkamah Rayu­an di Columbia,” kata pegawai kerajaan.

Rayuan itu turut dibuat ke atas keputusan Hakim Daerah Pennsylvania, Wendy Beetlestone yang membuat keputusan sama pada Oktober lalu.

Pegawai memberitahu Reuters bahawa tidak mungkin masalah TikTok di AS dapat diselesaikan sebelum Trump mening­galkan pejabatnya pada 20 Januari depan.
“Ada kemungkinan perjanjian lain akan dibuat pada waktu itu,” tambah pegawai berkenaan.

Pada September lalu, Nichols turut mengeluarkan perintah menyekat Jabatan Perdaga­ngan daripada meminta Apple Inc. dan Google Alphabet mengeluarkan aplikasi TikTok daripada premis mereka.

Awal bulan ini, Pentadbiran Trump memutuskan untuk tidak melanjutkan perintah yang dikeluarkan oleh Presiden Trump pada Ogos lalu supaya pemilik TikTok, ByteDance mengalihkan asetnya kepada syarikat tempatan.

Keputusan itu memberi kuasa kepada Jabatan Kehakiman untuk menguatkuasakannya selepas tempoh berakhir.

Peguam Negara, Jeffrey Ro­sen ketika ditemu bual Reuters bagaimanapun enggan mengulas sama ada Jabatan Kehakiman akan menguatkuasakan perintah tersebut.

Sementara itu, ByteDance yang menerima tekanan daripada kerajaan AS dilaporkan telah berbincang selama berbulan-bulan bersama Walmart Inc dan Oracle Corp untuk memindah­kan aset TikTok kepada entiti baharu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya