- Utusan Malaysia
Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat mula berdepan pelbagai sekatan di Eropah yang mahu melindungi pengguna daripada perlakuan antipersaingan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Firma teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) se­perti Amazon, Apple, Facebook dan Google mungkin berhadapan denda sehingga 10 peratus daripada perolehan tahunan atau terpaksa berpecah berdasarkan pe­raturan baharu yang diumumkan Kesatuan Eropah (EU) kelmarin.

Peraturan yang bertujuan mengawal kuasa syarikat-syarikat tersebut adalah cubaan paling serius EU untuk mengurangkan kebergantungan ribuan syarikat dan jutaan penduduk Eropah terhadap data dan platform dalam talian syarikat-syarikat itu.

Langkah terbaharu itu men­cerminkan kekecewaan Suru­hanjaya Eropah terhadap kes-kes antipakatnya terhadap ger­gasi teknologi, terutamanya Alphabet milik Google.

Namun, langkah tersebut berisiko memburukkan hubu­ngan EU dengan Washington yang sudah sedia tegang akibat cubaan Brussels mengenakan cukai lebih tinggi kepada firma teknologi AS.

“Nampak seperti Eropah mahu menghukum syarikat-syarikat berjaya yang telah melabur ba­nyak dalam pemulihan dan pertumbuhan ekonomi benua itu,” kata Naib Presiden Eksekutif Dewan Perdagangan AS, Myron Brilliant dalam satu kenyataan.

Tekanan undang-undang se­­makin serius di seluruh dunia terhadap gergasi-gergasi teknologi berikutan beberapa skandal melibatkan hak peribadi dan kesalahan maklumat, selain aduan daripada beberapa perniagaan bahawa mereka menyalahgunakan kuasa pasaran.

Wall Street Journal melaporkan, peraturan baharu itu melibatkan dua rang undang-undang. Pertama, memfokuskan kepada kandungan tidak sah manakala kedua, melibatkan perlakuan antipersaingan.

Pada masa yang sama, United Kingdom (UK) yang sudah keluar daripada blok itu dijangka turut melaksanakan langkah sama untuk mengatasi apa yang dinamakan sebagai “bahaya dalam talian”.

Dalam satu laporan bera­singan oleh Reuters, Facebook dikatakan akan memindahkan semua penggunanya di UK ke dalam perjanjian kepenggunaan dengan ibu pejabat korporat di California, AS.

Ia bertujuan mengeluarkan mereka daripada hubungan sedia ada dengan unit Facebook di Ireland agar ia terpisah daripada undang-undang hak peribadi Eropah.
Perubahan itu akan berkuat kuasa tahun hadapan dan langkah yang sama turut telah diumumkan Google Februari lalu.

Reuters memperoleh maklumat tersebut daripada sumber sebelum Facebook mengesahkannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya