Untung bersih Kumpulan Public Bank meningkat 2.2 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Kumpulan Public Bank meningkat 2.2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih Kumpulan Public Bank meningkat masing-masing sebanyak 2.3 peratus dan 2.2 peratus bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.81 bilion, 9.4 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama 2019.

Menurut Public Bank, keuntungan bersih milik pemegang saham pula dicatatkan pada RM3.72 bilion, turun 9.3 peratus daripada sembilan bulan pertama 2019.

“Ini terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang menyederhana berikutan pandemik Covid-19, kesan daripada pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun yang dikaji, serta kerugian pengubahsuaian bersih satu kali sebanyak RM498 juta yang
dialami pada suku kedua berikutan langkah-langkah bantuan Covid-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendapatan bukan faedah bank terus menyokong prestasi kewangan Kumpulan, tumbuh 17.8 peratus, dipacu oleh pendapatan pelaburan yang lebih tinggi, serta pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan unit amanah dan pembrokeran saham.

Katanya, Public Mutual, subsidiari milik penuh Kumpulan Public Bank, terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan bukan faedah Kumpulan.

Pada akhir September 2020, Public Mutual menguruskan sejumlah 162 buah dana amanah saham, dengan nilai aset bersih meningkat daripada RM86.6 bilion pada akhir 2019 kepada RM94.1 bilion pada 30 September 2020.

“Public Mutual juga kekal sebagai peneraju industri amanah saham swasta runcit dengan bahagian pasaran sebanyak 32.9 peratus,” jelasnya.

Mengulas prestasi tersebut, Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, pandemik Covid-19 terus menimbulkan ketidaktentuan yang ketara kepada landskap ekonomi dan persekitaran perniagaan dari segenap segi.

Beliau yang juga Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, pengurangan sejumlah 125 mata asas dalam OPR pada 2020 setakat ini dan peruntukan lebih besar yang diketepikan berikutan jangkaan kesan pandemik Covid-19, turut memberi kesan ke atas keuntungan bank berkenaan.

“Bagaimanapun, memandangkan ekonomi terbuka secara berperingkat-peringkat dan disokong oleh pelbagai langkah bantuan dan rangsangan daripada kerajaan, persekitaran ekonomi pada suku ketiga 2020 semakin menunjukkan peningkatan,” katanya.

Hong Piow berkata, Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan pinjaman lebih tinggi pada suku dilaporkan.

“Jumlah pinjaman meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.8 peratus dalam sembilan bulan pertama 2020. Pinjaman domestik berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.6 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan pinjaman tahunan industri perbankan domestik sebanyak empat peratus. Dari segi pendanaan, Kumpulan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9 peratus bagi jumlah deposit dan deposit domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya