MaGIC penggerak utama syarikat pemula - Utusan Malaysia

MaGIC penggerak utama syarikat pemula

Dzuleira Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Dalam menuju era digital dan Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0), industri kreatif dan inovasi memainkan peranan penting sebagai pencetus serta pemacu kepada kemajuan sesebuah negara.
Bagi konteks Malaysia, peranan ini antara lain dipikul oleh Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) sebagai antara penggerak utama kepada pembangunan industri berkenaan. Ini dapat dilakukan melalui pembentukan syarikat-syarikat pemula (startup companies).
Ikuti temubual Utusan Malaysia bersama Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar mengulas peranan, cabaran dan kejayaan yang telah dicapai agensi itu sejak penubuhannya kira-kira enam tahun lalu.

UTUSAN: Sejauh mana peranan dimainkan oleh MaGIC dalam membangunkan industri krea­tif dan inovasi dalam negara?
DZULEIRA: Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), misi utama MaGIC adalah tertumpu kepada syarikat dan ekosistem teknologi dan pemula.
Fokus kami adalah untuk membina serta memperkasa syarikat pemula teknologi dan perusahaan inovatif sosial melalui penggunaan teknologi, inovasi dan kreativiti; dan membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampan serta cemerlang di Malaysia.
Pembangunan sesebuah negara bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara sendiri atau silo. Jadi, untuk memastikan matlamat kami membuahkan hasil, MaGIC sering bekerjasama dengan ekosistem dari dalam dan luar negara.
Sebagai agensi di bawah MOSTI, kami juga bekerjasama erat dengan agensi-agensi lain untuk memastikan pengukuhan ekosistem teknologi dan pemula yang mampan.
Sejak penubuhan MaGIC pada 2014, kami telah menyediakan syarikat pemula, pelabur dan kalangan komuniti ekosistem dengan program pembangunan keupayaan, peluang dana dan pasaran serta bantuan kawal selia yang memberi impak terhadap lebih daripada 100,000 individu dengan nilai ciptaan keseluruhan sebanyak RM1.9 bilion.

Kejayaan-kejayaan yang te­lah dicapai sejak penubuhan MaGIC?
Seperti dinyatakan, MaGIC telah mencipta nilai sebanyak RM1.9 bilion sejak penubuhan kami. Penubuhan MaGIC lebih 6 tahun lepas bertujuan untuk melonjakkan nama Malaysia sebagai salah satu ekosistem untuk syarikat dan teknologi pemula.
Pada 2019, MaGIC telah berjaya mencipta lebih daripada 690 pekerjaan dengan ciptaan nilai sebanyak RM409 juta. MaGIC juga telah menjalankan lebih daripada 271 program yang disertai oleh 20,609 individu. Melalui program-program ini, sebanyak 153 syarikat pemula telah kami berjaya percepatkan.

Pandangan MaGIC mengenai perkembangan industri berke­naan di dalam negara?
Menurut Laporan Ekosistem Global 2020, Kuala Lumpur menduduki tempat ke-10 ekosistem baharu dalam prestasi dan ke-20 ekosistem membangun dalam bakat. Malaysia juga berada di kedudukan ke-27 daripada melebihi 200 negara dalam Indeks Inovasi Bloomberg 2020. Malaysia turut berada di tangga ke-35 daripada 129 dalam Indeks Inovasi Global 2019, tempat ke-8 dalam subtonggak bagi kedua-dua penghasilan siswazah sains dan kejuruteraan serta usaha sama antara universiti industri, nombor 71 bagi penjanaan subtunggak pengetahuan, sementara ke-91 bagi perbelanjaan domestik kasar ke atas penyelidikan dan pembangunan (GERD) dibiayai oleh pihak luar negara.
Ini jelas menunjukkan potensi besar dalam kalangan syarikat pemula, inovasi yang dibangunkan dan kemampuan kita sendiri dalam membawa teknologi kita ke hadapan. Sokongan dan ekosistem yang mapan boleh melonjak inovasi dan teknologi syarikat pemula Malaysia jauh ke hadapan dan itulah misi MaGIC.

Apakah halangan dan c­a­baran dihadapi MaGIC dalam membangunkan industri ber­kenaan?
Terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi syarikat pemula Malaysia. Di antara cabaran itu ialah kekurangan penyertaan dan pelaburan daripada sektor swasta; kadar pengkomersialan rendah selepas peringkat penyelidikan dan pembangunan; birokrasi ka­wal selia dan kebergantungan tinggi terhadap bakat asing bagi penyelesaian teknologi tinggi.
Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan pelbagai cabaran ini lebih ketara.

Kesediaan rakyat Ma­laysia dalam meng­adaptasi kemajuan industri kreatif dan inovasi?
Antara peranan pen­ting yang dimainkan oleh MaGIC juga adalah membantu memba­ngun dan memperkasa komuniti yang mempunyai minat dan menjadikan keusahawanan serta penggunaan teknologi, inovasi dan kreatif sebagai cara untuk memajukan diri dan komuniti mereka.
Program-program yang dijalankan termasuklah program tumpuan kepada belia di mana MaGIC bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi; kerjasama strategik dengan ekosistem keusahawanan yang juga menjalankan program serta pertan­dingan keusahawanan seperti Hackathon; Startup Weekend; Alibaba GET Global Challenge; Youth Virtual Summit 2020; program bersama komuniti dan program perusahaan sosial.
Perusahaan sosial masih di tahap awal di Malaysia tetapi kita dapat melihat bahawa ia sentiasa berkembang dan seringkali orang keliru antara perusahaan sosial dan kerja amal atau cha­rity. Kurangnya pemahaman mengenai identiti perusahaan sosial agak membimbangkan. Ini kerana pembangunan negara memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN