LLA: Felda, FGV tetap raih untung - Utusan Malaysia

LLA: Felda, FGV tetap raih untung

Pengambilalihan FGV dikatakan bakal membantu proses pemulihan Felda. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan FGV Holdings Berhad (FGV) bukan hanya menguntungkan se­belah pihak.

Sebaliknya, Penyelidik Eksekutif di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Zulaikha Azmi berpendapat, kedua-dua pihak akan me­nerima keuntungan dengan cara yang tersendiri.

“Felda dapat kembali sumber kewangan utama Felda iaitu tanah di bawah Felda Plantations yang dipajak kepada FGV. Jadi, Felda tidak lagi hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan sebagai sumber pendapatan.

“Dengan penamatan LLA, FGV tidak perlu lagi membayar yuran dan 15 peratus keuntungan kepada Felda setiap tahun yang merupakan beban kepada FGV. FGV akan mendapat kebebasan untuk beroperasi dan membuat keputusan berdasarkan keperluan komersial dan lebih cekap.

“Jika FGV dapat menggunakan pampasan daripada Felda untuk tujuan yang menguntungkan FGV seperti membeli ladang yang sesuai, ini juga dapat menguntungkan Felda sebagai pemegang saham dalam FGV,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas menangani isu Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar minggu lalu berkata, pengambilan tanah LLA seluas 351,000 hektar itu akan bersekali dengan kilang yang ada dan perkara tersebut akan dibincangkan dengan le­bih lanjut bersama pengurusan FGV.

Beliau turut membayangkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda lebih rendah berbanding jangkaan antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bi­lion oleh FGV.

Mengulas lanjut, menurut Zulaikha, FGV mungkin tidak terlalu terkesan dengan penamatan LLA kerana hanya 30 peratus daripada pengelua­ran buah tandan segar (FFB) adalah daripada tanah pajakan LLA.

Beliau turut berpendapat, masalah yang menjerumuskan Felda kepada situasi semasa adalah masalah kecuaian dan ketidakcekapan tadbir urus.

“Persoalannya adalah sama ada langkah penambahbaikan tadbir urus telah diambil untuk mencegah perkara sama daripada berulang,” katanya.

Menurut beliau, hasil yang ideal daripada langkah pemulihan Felda adalah jika ia me­ng­untungkan pemegang taruh utama Felda iaitu peneroka.

“Jika langkah yang Felda ambil dapat memberi pendapatan dan peluang pekerjaan kepada peneroka Felda secara lestari dan dapat menyelesaikan isu kebergantungan kepada pekerja asing, pembelian kilang dan penerbitan sukuk mungkin berbaloi.

“Saya yakin Felda dan Pasukan Petugas Khas Felda akan mengambil langkah untuk memperkasa peneroka dan meningkatkan penglibatan koperasi Felda dalam strategi pembaharuan Felda. Langkah pemulihan ini amat diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya