Lebih ramai bimbang hilang kerja daripada Covid-19 - Utusan Malaysia

Lebih ramai bimbang hilang kerja daripada Covid-19

PENULARAN Covid-19 menyebabkan ramai hilang pekerjaan. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hilang pekerjaan adalah kebimbangan terbesar rakyat Malaysia, menurut satu kajian yang dijalankan EMIR Research.

Kajian Pulse From The Ground: Bahagian Dua yang mengguna pakai sampel seramai 2,096 responden itu melibatkan Indeks Kebimbangan Kebangsaan (NWI), Indeks Kepuasan terhadap Kerajaan (GSI), pilihan politik responden serta Model Valens Kebimbangan-Kepuasan.

Untuk NWI, kebimbangan terhadap kehilangan pekerjaan mengatasi enam kebimbangan berkaitan Covid-19 lain termasuk ancaman Covid-19 akibat pendatang tanpa izin, kualiti pendidikan akibat Covid-19, kekurangan pendapatan dan lain-lain.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Dr. Rais Hussin, keadaan ekonomi yang semakin melarat akibat pandemik di seluruh negara telah menimbulkan kebimbangan besar kepada rakyat negara ini.

“Ketidakstabilan politik ketika ini yang memberi impak kepada kehidupan rakyat turut menjadi penyumbang utama kepada kebimbangan rakyat (dan) kesemua ini membawa kepada ‘tujuh kebimbangan berkaitan pandemik’.

“Kebimbangan-kebimbangan ini ditimbulkan berkali-kali oleh responden perbincangan kumpulan fokus (FGD) ketika kajian di tahap kualitatif,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut kajian itu, 85 peratus responden menyatakan kebimbangan hilang pekerjaan, manakala 81 peratus mengaku bimbang ancaman Covid-19 akibat pendatang tanpa izin.

Kebimbangan terendah adalah melibatkan waktu menunggu bertemu doktor iaitu sebanyak 71 peratus.

Empat lagi kebimbangan adalah kualiti pendidikan disebabkan Covid-19 dengan 80 peratus kebimbangan, kekurangan pendapatan (80 peratus), kualiti penjagaan kesihatan disebabkan Covid-19 (75 peratus) dan kesihatan mental/kemurungan/tekanan (72 peratus).
Kajian tersebut melibatkan rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai etnik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya