Gelombang kemiskinan lebih besar  - Utusan Malaysia

Gelombang kemiskinan lebih besar 

Pekerja Malaysia di Singapura kini memilih tempat tinggal di tepi jalan kerana kos sewa di negara itu terlalu tinggi. Gambar/Facebook Gilbert Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 yang tidak diketahui bila berakhir dijangka mengakibatkan berlakunya gelombang kemiskinan besar-besaran.

Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, impak wabak boleh menyebabkan masyarakat jatuh ke kelas ekonomi lebih rendah, sekali gus menambah golongan miskin tegar secara mendadak.

“Memang akan ada kumpulan khususnya mudah terjejas akan tiba-tiba jatuh kepada kelas ekonomi lebih rendah.

“Jadi, secara prinsipnya, krisis sebegini dalam keadaan sekarang membabitkan bukan sahaja Malaysia malah seluruh dunia,” kata pakar ekonomi berkenaan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sebagai contoh, beliau berkata, antara kumpulan mudah terjejas dan berisiko jatuh ke peringkat lebih bawah ialah membabitkan pekerja industri pelancongan.dan perhotelan.

Katanya, akibat pandemik berterusan hotel dan pusat-pusat pelancongan sepi kerana orang risau untuk berkumpul.

“Apabila tiada tetamu, pengurusan hotel tidak memerlukan lagi tukang masak atau kakitangan lain. Daripada situ akan berlaku hilang pekerjaan,” katanya.

Noor Azlan berkata, gambaran tersebut membimbangkan lebih-lebih lagi apabila melihat kepada statistik kemiskinan Malaysia yang didominasi golongan pekerja swasta.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan 43.9 peratus daripada keseluruhan golongan miskin melibatkan pekerja swasta manakala 37.6 peratus lagi adalah kumpulan bekerja sendiri.

Katanya, ketiadaan masa bila wabak akan berakhir dijangkakan masalah pengangguran dan ekonomi akan terus membelenggu rakyat.

September lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mendedahkan jumlah penganggur sudah mencecah sejuta orang, termasuk 500,000 belia yang hilang pekerjaan dan 350,000 graduan baharu.

Bagaimanapun, Noor Azlan berkata, masih ada harapan mengelakkan risiko tersebut jika kerajaan melalui EAC segera bertindak dengan menyerap semua impak sebelum ia memberi kesan berganda kepada rakyat.

“Saya berani katakan, selepas enam bulan (sejak pandemik bermula), satu yang saya rasa bersyukur apabila kita lihat ekonomi sedang berkembang pulih semula.

“Maksudnya, sudah mula ada tanda pemulihan dan ini petanda bagus. Bererti orang yang terjejas itu sudah boleh bangkit semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN