KUALA LUMPUR: Peruntukan infrastruktur untuk mengembalikan semula projek mega dalam Belanjawan 2021 merupakan antara faktor besar mempengaruhi prestasi positif Bursa Malaysia Jumaat lalu.
Pasaran modal tempatan memberi reaksi terbaik apabila melonjak melepasi 1,500 mata sebaik sahaja Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Indeks penanda aras FBM KLCI kemudiannya ditutup tinggi pada paras 1,519.64 mata, menokok sebanyak 18.15 mata berbanding 1,501.49 pada pukul 5 petang ketika sesi dagangan Khamis lalu.
Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim, sentimen yang diberi susulan pembentangan Belanjawan 2021 adalah sangat positif memandangkan ia merupakan peruntukan tahunan terbesar dalam sejarah negara.
Malah, Adam berkata, banyak peruntukan akan disalurkan kepada mereka yang terkesan daripada Covid-19 sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin kepada rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik tersebut.
“Antara faktor yang menyebabkan Bursa Malaysia bertindak positif adalah melibatkan peruntukan sebanyak RM15 bilion untuk projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama.
“Ini sudah tentu memberi peluang kepada syarikat-syarikat pembinaan yang tersenarai yang sebelum ini terkesan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan menyediakan sebanyak RM15 biliont untuk melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.
Selain itu, beberapa projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodlands, Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.
Tambah Adam, peruntukan infrastruktur adalah antara intipati Belanjawan 2021 yang boleh menarik kembali minat pelabur asing ke dalam negara kerana disifatkan sebagai aktiviti yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Selain itu, fokus terhadap digitalisasi dan automasi adalah perkara yang boleh menarik minat pelabur asing kerana di era pandemik ini, digitalisasi amat penting terutama dalam menjalankan apa-apa urusan perniagaan.
“Ini juga termasuk peruntukan untuk Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela),” jelas beliau.
Sementara itu, ringgit terus mengukuh berbanding dolar apabila ditutup pada 4.1430 dalam sesi dagangan Jumaat lalu, berbanding 4.1525 pada hari Khamis. – UTUSAN










