Angka muflis lebih banyak tahun ini - Utusan Malaysia

Angka muflis lebih banyak tahun ini

Pengalisis ekonomi meramalkan angka muflis akan meningkat empat hingga lima peratus tahun ini berbanding tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan purata 1,000 orang diisytihar muflis setiap bulan sepanjang tahun lalu dan angka itu dijangka meningkat empat hingga lima peratus tahun ini.

Mengikut statistik Jabatan Insolvensi, pekerja sektor swasta direkodkan paling tinggi muflis sejak tahun 2016 sehingga sekarang.

Pada tahun ini sehingga Ogos lalu, seramai 1,514 pekerja swasta didaftarkan muflis daripada jumlah keseluruhan 5,066 kes. Kumpulan paling ramai muflis pula dalam peringkat umur 35 hingga 44 tahun.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, dalam situasi sekarang, semua pihak perlu mencari jalan bagi memastikan angka muflis tidak terus meningkat.

“Muflis berpunca daripada masalah pengurusan kewangan tak betul. Namun dalam keadaan sekarang, kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran menjadi faktor utama muflis,” kata beliau.

Kata Nuradli, bagi menyekat penambahan jumlah individu muflis, kerajaan dan agensi perbankan perlu melakukan sesuatu.

“Lanjutan moratorium sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun depan juga antara cadangan membantu mengurangkan masalah diisytihar muflis,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Abu Sufian Yaacob pula berkata, peningkatan angka muflis bergantung kepada kadar pengangguran dan penularan pandemik Covid-19 yang dihadapi ketika ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, apabila semakin ramai muflis ia memberi kesan kepada permintaan produk atau perkhidmatan menjadi berkurangan.

“Kelembaban dalam perbelanjaan rakyat menyebabkan ekonomi tidak berkembang seterusnya lemah dan akhirnya pendapatan negara terutama melalui cukai terkesan.

“Apabila pendapatan negara berkurangan maka akan ada perkhidmatan dan pembangunan negara yang terjejas,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Oleh itu, Abu Sufian berkata, rakyat perlu berbelanja untuk mengaktifkan ekonomi dan akhirnya meningkatkan pendapatan kerajaan.

Muflis atau bankrap membabitkan peminjam gagal menjelaskan bayaran ansuran sesuatu pembelian atau pinjaman dengan institusi kewangan.

Kesan disytihar muflis, individu berkenaan tidak dibenarkan membuka akaun bank, ke luar negara dan mendaftar syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN