Zamzamzairani Pengerusi baharu Maybank - Utusan Malaysia

Zamzamzairani Pengerusi baharu Maybank

Tan Sri Zamzamzairani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengumumkan persaraan Datuk Mohaiyani Shamsudin sebagai Pengerusi perbankan itu pada 1 November ini selepas sembilan tahun berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Maybank.

Dalam masa yang sama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa dilantik mengisi jawatan berkenaan berkuat kuasa 2 November.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berterima kasih di atas kebijaksanaan dan bimbingan yang dicurahkan Mohaiyani sepanjang perkhidmatannya.

Menurut Abdul Farid, Mohaiyani terus mencabar kakitangan Maybank untuk berusaha lebih gigih melalui contoh komitmen dan dedikasi.

“Beliau memiliki pengalaman kerja sangat berwibawa dan perspektifnya dalam industri perkhidmatan kewangan amat dihargai.

“Mohaiyani juga seorang pemimpin yang memberi inspirasi dengan mengangkat misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan memotivasikan kami pada setiap kesempatan untuk kekal patuh kepada tujuan kami dalam semua aspek perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohaiyani mempunyai karier gemilang apabila berkhidmat dengan Amanah Chase Merchant Bank Bhd. dan Seagroatt & Campbell Securities Sdn. Bhd. sebelum menubuhkan syarikat broker sahamnya sendiri, Mohaiyani Securities Sdn. Bhd. pada 1985 di mana beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.

Semasa penglibatannya dalam industri pembrokeran saham, Mohaiyani dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur (Bursa Malaysia Bhd.) dan Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia.

Beliau juga dilantik sebagai ahli beberapa kumpulan kerja nasional seperti Majlis Tindakan Ekonomi Nasional, Majlis Perundingan Ekonomi Nasional II, Majlis Teknologi Maklumat Nasional, Jawatankuasa Kewangan Tingkat Tinggi untuk Tadbir Urus Korporat Kementerian Kewangan dan Majlis Penasihat Nasional untuk Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Farid turut mengalu-alukan pelantikan Zamzamzairani sebagai Pengerusi Maybank yang baharu dengan mengatakan pengalaman luasnya mampu menjana pertumbuhan dan kejayaan masa hadapan Maybank.

Zamzamzairani yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi dari Plymouth Polytechnic, United Kingdom pernah mengikuti Program Kepemimpinan Strategik di Said Business School, University of Oxford dan Meja Bulat CEO IMD di Lausanne, Switzerland pada 2013.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun luas dalam industri telekomunikasi bermula di TM di mana beliau berkhidmat selama 13 tahun sebelum menjawat jawatan penting di beberapa syarikat multinasional seperti Global One Communications dan Lucent Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Beliau juga menjawat jawatan pengarah di beberapa syarikat awam lain termasuk Malaysia Airlines Bhd. dan Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya