UEM Group teroka peluang gabung UEM Sunrise, ECo World - Utusan Malaysia

UEM Group teroka peluang gabung UEM Sunrise, ECo World

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, UEM Group Bhd. sedang meneroka peluang untuk proses penggabungan UEM Sunrise Bhd. dengan Eco World Development Group Bhd. sekali gus mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar di Malaysia.

UEM Group dalam kenyataan memberitahu, pihaknya telah pun menghantar surat, Jumaat lalu kepada Lembaga Pengarah UEM Sunrise Bhd. dan Eco World Development Group Bhd. untuk mempertimbangkan potensi penggabungan kedua-dua syarikat tersebut.

Menurut UEM Group, penggabungan itu juga akan mewujudkan sebuah syarikat yang mempunyai pelbagai produk terbaik dengan keupayaan kukuh dalam setiap segmen industri bagi mengekalkan pertumbuhan dan penciptaan nilai jangka panjang.

Katanya, kedudukan ekonomi makro yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 telah memaksa pemaju hartanah menambah baik perniagaan menerusi pengumpulan sumber dan keupayaanuntuk mengukuhkan prestasi dan kelestarian jangka panjang.

“UEM Group meneroka kemungkinan penggabungan antara UEM Sunrise yang dimiliki sebanyak 66.1 peratus dengan syarikat pemaju hartanah lain tetapi yakin penggabungan dengan Eco World lebih tepat.

“Penggabungan dengan rakan kerjasama yang sesuai dengan keupayaan tepat akan membantu meningkatkan nilai UEM Sunrise menerusi penambahbaikan campuran produk dan sinergi geografi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah UEM Group, penggabungan itu juga merupakan peluang bagi sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bekerjasama dengan sektor swasta mewujudkan pemaju hartanah terbesar negara.

“Dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM173.2 bilion dan pemilikan tanah lebih daripada 6,879 hektar dalam negara, UEM Group percaya penyatuan industri ini akan mencipta nilai kepada semua pemegang saham.

“Penggabungan yang dicadangkan tetap tertakluk kepada perbincangan lembaga pengarah syarikat masing-masing dan sehingga kedua-duanya sedia meneruskan proses ini, tidak ada kepastian bahawa cadangan penggabungan ini akan menghasilkan perjanjian atau kewajiban antara kedua-dua syarikat.

“Sekiranya mereka akhirnya bersetuju membuat perjanjian antara lain melibatkan transaksi yang dikenakan akan mendapat persetujuan pemegang saham dan badan pengawal selia,” katanya.

Sekiranya ahli lembaga pengarah kedua-dua syarikat bersetuju dengan cadangan penggabungan:

* Keputusan itu akan memperbesar lagi UEM Sunrise. Saham dan waran baharu akan diterbitkan bagi menggantikan saham dan waran Eco World. UEM Sunrise akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia.

* UEM Group akan kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar UEM Sunrise dengan pegangan 43 peratus ekuiti sementara Eco World menguasai 24.2 peratus saham. Syarikat pelaburan milik kerajaan (termasuk UEM Group) akan memegang lebih 50 peratus kepentingan.

* Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan UEM Sunrise akan dipimpin seorang Ahli Lembaga Pengarah sedia ada syarikat itu. Jawatankuasa Integrasi akan ditubuhkan terdiri daripada wakil UEM Sunrise dan Eco World serta dipengerusikan oleh Pengerusi masing-masing bagi membincangkan hal-hal berkaitan integrasi termasuk komposisi lembaga pengarah dan pengurusan utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya