SLL: Sarawak Energy dapat RM100j - Utusan Malaysia

SLL: Sarawak Energy dapat RM100j

Sarawak Energy memainkan peranan penting sebagai pemaju tenaga dan elektrik utiliti utama negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sarawak Ener­gy Bhd. (Sarawak Energy) berjaya memperoleh pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) bernilai RM100 juta dalam bentuk kemudahan kredit pusingan daripada CIMB Bank Bhd.

Pinjaman yang diperoleh sekali gus menjadikannya sebagai syarikat Borneo dan utiliti pertama di Malaysia mendapatkan pembiayaan berkaitan kelestarian diukur menerusi sasaran prestasi mapan (SPT).

Pengumuman itu dibuat melalui penerimaan SLL secara maya bersama Sarawak Energy dengan tema ‘Mencipta model perniagaan lestari yang berfungsi’ sempena Sidang Kemuncak The Cooler Earth Sustainability CIMB 2020.

Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, Sarawak Energy memainkan peranan penting sebagai pemaju tenaga dan elektrik utiliti utama negeri di samping pelaksana utama visi dan inisiatif kerajaan negeri Sarawak bagi penyediaan tenaga bersih, boleh diperbaharui, boleh dipercayai dan berpatutan kepada masyarakat.

Katanya, syarikat itu mencipta nilai bagi semua pihak berkepentingan dengan menguruskan risiko jangka panjang dan peluang menerusi pendekatan kelestarian yang lebih strategik.

“Kami berusaha untuk menggabungkan kelestarian ke dalam perniagaan, operasi dan hubu­ngan kami dengan masyarakat.

“Pinjaman berkaitan kemampanan ini mengesahkan usaha kita dalam kesinambungan yang bukan hanya baik untuk alam sekitar tetapi juga bagus kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sarawak Energy juga merupakan syarikat Malaysia pertama yang menandatangani Business Ambition for 1.5 Celsius iaitu inisiatif bersama yang diketuai Science Based Targets dengan kerjasama United Nations Global Compact dan gabungan We Mean Business yang me­netapkan sasaran pengurangan pelepasan berasaskan sains sejajar dengan mengehadkan kenaikan suhu global hingga 1.5 celsius dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

SLL yang didasarkan kepada SPT itu bertujuan meningkatkan prestasi alam sekitar dan sosial Sarawak Energy dari tahun kewangan 2020 hingga tahun kewangan 2023 dan sebagai peringatan kepada syarikat itu untuk mengekalkan tahap pelepasan sejajar dengan Perjanjian Paris.

Hal demikian juga menjadikan Sarawak Energy berada pada landasan tepat untuk memastikan Sarawak mempunyai tenaga elektrik menjelang 2025.

CIMB akan menawarkan rebat terhadap faedah pinjaman sekiranya SPT yang dipersetujui ini berjaya dipenuhi.

Sarawak Energy berhasrat menggunakan rebat faedah yang diperoleh daripada CIMB itu untuk program kemampanan pendidikan belia sebagai satu daripada cara memberi semula kepada masyarakat.

CIMB adalah kumpulan perbankan ASEAN pertama yang menjadi penandatangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Prinsip Perbankan Bertanggungjawab berhubung Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar (UNEP FI) dan menandatangani komitmen kolektif mengenai tindakan iklim.

Pada 2019, CIMB memper­kenalkan Kerangka Dasar Pembiayaan Kemampanan Kumpulan dan Impak Positif perkhidmatan dan produk (PIPS).

CIMB juga adalah satu daripada bank di Malaysia yang mengumumkan insentif SLL de­ngan menyediakan dana RM3 bilion untuk inisiatif tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya