Permohonan peruntukan ATR turun 66.7 peratus - Utusan Malaysia

Permohonan peruntukan ATR turun 66.7 peratus

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengeluarkan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku ketiga 2020 untuk sektor penerbangan awam Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September 2020.

MAVCOM telah meluluskan 12 permohonan ATR, mewakili 100 peratus permohonan yang diterima untuk tempoh berkenaan.

MAVCOM dalam kenyataan memaklumkan, kadar permohonan itu diterjemahkan kepada pengurangan sebanyak 55.6 peratus berbanding separuh pertama 2020, dan pengurangan sebanyak 66.7 peratus dari tempoh yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Daripada 12 peruntukan ATR, tujuh adalah untuk destinasi domestik sementara lima kelulusan ATR selebihnya adalah untuk destinasi antarabangsa.

“Kelulusan untuk destinasi antarabangsa merangkumi satu destinasi di Jepun, dua destinasi untuk Hong Kong sementara dua kelulusan selebihnya adalah untuk destinasi ASEAN,” katanya.

Peruntukan ATR oleh lapangan terbang adalah tujuh peruntukan iaitu untuk penerbangan yang berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), empat peruntukan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), dan satu peruntukan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH).

Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah menerima jumlah kelulusan tertinggi iaitu sebanyak tujuh ATR manakala Raya Airways menerima sebanyak tiga ATR sementara AirAsia Berhad dan Fly Firefly Sdn. Bhd. masing-masing menerima satu kelulusan untuk ATR.

Katanya, memandangkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, penangguhan sementara telah diberikan kepada syarikat penerbangan mengenai syarat pembatalan ATR secara automatik yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh pemberian kelulusan kepada syarikat penerbangan oleh MAVCOM.

“Penangguhan itu yang berlaku pada 4 Jun 2020, dilakukan untuk mengurangkan cabaran pentadbiran syarikat penerbangan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

“Keputusan ini membolehkan syarikat penerbangan berjadual Malaysia untuk mengekalkan portfolio ATR mereka untuk tempoh yang tidak terhad sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Penangguhan tersebut tidak terpakai untuk ATR yang telah tamat tempoh masa dan yang telah dibatalkan sebelum 4 Jun 2020, serta untuk laluan di mana syarikat penerbangan memberhentikan perkhidmatan di atas kehendak mereka sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya