Pendapatan 250,000 PKS terjejas - Utusan Malaysia

Pendapatan 250,000 PKS terjejas

Kehidupan PKS akan terjejas jika mereka terpaksa terus membayar pinjaman sewaktu PKPB. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lanjutan moratorium automatik jika tidak dilaksanakan di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan menjejaskan pendapatan lebih 250,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abdul Halim Husin.

Beliau berkata, ia sekali gus membebankan dan menyukarkan PKS untuk membuat pembayaran semula pinjaman.

Kata beliau, kehidupan PKS akan terjejas jika mereka terpaksa terus membayar pinjaman sewaktu PKPB.

“Ini kerana, tidak semua peniaga berniaga di kawasan PKPB tinggal di kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Ada antara mereka, yang tinggal di Negeri Sembilan dan Melaka namun berniaga di sini.

“Malah, keuntungan perniagaan juga tidak seperti pada hari kebiasaan walaupun mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), namun pembeli tetap berkurangan ketika pelaksanaan PKPB,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kerajaan telah memutuskan untuk menguatkuasakan PKPB mulai 13 hingga 26 Oktober di Sabah dan 14 hingga 27 Oktober di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Kata Abdul Halim, lanjutan moratorium memang perlu diteruskan di kawasan PKPB kerana sebelum ini kerajaan sudah menguar-uarkan moratorium itu akan diberikan secara bersasar dan mereka yang terlibat di PKPB.

“Pasti ada yang menyatakan pengusaha mengambil kesempatan untuk tidak membayar pinjaman jika moratorium dilanjutkan tetapi ini bukanlah sepertimana yang mereka fikirkan kerana PKS telah menderita sejak PKP dilaksanakan pada Mac lagi,” katanya

Justeru, beliau menyeru kepada kerajaan supaya melanjutkan moratorium automotik bukan sahaja mengikut kawasan terlibat PKPB tetapi juga kepada mereka terkesan dengan langkah itu.

“Saya juga berharap pihak bank membekukan faedah apabila kerajaan melaksanakan lanjutan moratorium. Ini kerana, penundaan pembayaran tetap dikenakan faedah oleh bank,” katanya.

Abdul Halim berkata, DPMM kini bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) pinjaman melalui pertemuan dengan bank-bank.

Sementara itu, Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, keseluruhan PKS di kawasan terlibat PKPB terjejas dan memang memerlukan lanjutan moratorium automatik bagi meneruskan kelangsungan hidup agar tidak tersepit dengan masalah kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN