MoF nafi lulus pembiayaan AirAsia - Utusan Malaysia

MoF nafi lulus pembiayaan AirAsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masa depan AirAsia Group Berhad terus menjadi tanda tanya apabila Kementerian Kewangan (MoF) menafikan laporan bahawa ia telah meluluskan pembiayaan atau jaminan kerajaan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa tiada pembiayaan atau pun jaminan kerajaan yang telah diluluskan kepada mana-mana syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan Nikkei Asia yang memetik sumber bahawa AirAsia telah menerima pinjaman RM1 bilion daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih kembali susulan pandemik Covid-19.

Menurut laporan berkenaan, pinjaman itu diberikan oleh beberapa bank tempatan di bawah skim kerajaan untuk membantu syarikat menangani wabak Co­vid-19 dan dijamin 80 peratus oleh Kementerian Kewangan.

Pinjaman itu sudahpun diluluskan berdasarkan oleh sumber kementerian dan syarikat penerbangan, jelas laporan berkenaan.

“RM1 bilion dianggap sangat penting bagi AirAsia untuk digunakan bagi pembayaran pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja. Pembayaran dijang­ka dibuat pada bulan depan. AirAsia juga akan melaksanakan pembuangan pekerja lagi bulan depan,” kata laporan itu.

Sumber AirAsia memberitahu Utusan Malaysia, syarikat itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.

Dalam temubual dengan Nikkei pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air­Asia, Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan, syarikat itu perlu mengumpulkan RM2 bilion dalam tempoh enam bulan akan datang untuk berada dalam kedudukan yang sangat selesa.

Pinjaman kepada AirAsia didakwa dikeluarkan oleh institusi kewangan tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin RM50 bilion, yang dikendalikan oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), penjamin kewangan milik kerajaan.

AirAsia mempunyai lebih 20,000 tenaga kerja sebelum pandemik Covid-19, namun te­lah menghentikan lebih daripada 2,400 pekerja setakat ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2020, AirAsia merekodkan kerugian sebanyak RM1.8 bilion berbanding keuntungan bersih RM111.78 juta untuk tempoh sama pada 2019. 

Pendapatan AirAsia turun lebih separuh hingga RM2.43 bilion daripada RM5.65 bilion tahun lalu.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya