Kurangkan cukai pendapatan PKS - Utusan Malaysia

Kurangkan cukai pendapatan PKS

PANDEMIK Covid-19 menjejaskan golongan perusahaan kecil dan sederhana sehingga memerlukan bantuan untuk kembali pulih. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRA BELANJAWAN 2021

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2021, dengan memperkenalkan dasar-dasar cukai yang membantu pemulihan sektor berkenaan.

Pengarah Eksekutif Cukai Korporat, KPMG Tax Services Sdn. Bhd., Lim Wai Yin berkata, kebanyakan peniaga terutama PKS mungkin mengalami kerugian akibat Covid-19 dan mereka memerlukan masa sebelum kembali mencapai keuntungan.

Beliau berkata, memandang­kan masih banyak perniagaan yang terjejas akibat perolehan yang turun dengan ketara, tumpuan segera perlu diberikan terhadap sektor berkenaan.

“Dasar-dasar cukai yang ber­kesan hendaklah diwujudkan supaya PKS dapat dibantu sebelum perniagaan mereka pulih sepenuhnya.

“Kami harap kadar cukai pendapatan bagi PKS dapat dikurangkan sama ada melalui penurunan kadar secara terus atau melalui rebet cukai.

“Walaupun rebat sehingga RM20,000 disediakan untuk PKS menerusi Pelan Jana Se­mula Ekonomi Negara (Penjana), namun ia terhad kepada PKS yang baru ditubuhkan.

“Kerajaan wajar memper­kenalkan semula rejim pelepasan berkumpulan sebelum ini yang membolehkan 70 peratus daripada kerugian yang diselaraskan dikongsi antara syarikat dalam kumpulan yang sama dan tidak mengehadkan pelepasan tersebut hanya kepada syarikat-syarikat yang berada dalam penilaian selama tiga tahun pertama berturut-berturut,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini.

Wai Yin berkata, moratorium sementara daripada membayar ansuran cukai bagi pembayar cukai dengan rekod cukai yang baik boleh dipertimbangkan bagi meringankan kekangan ali­ran tunai PKS.

Kerajaan juga katanya, bo­leh menimbang untuk me­nubuhkan dana bagi memadankan pelaburan yang disalurkan oleh perniagaan yang lebih besar, entiti berkaitan kerajaan, dana ekuiti swasta dan individu-individu memiliki nilai bersih yang tinggi untuk memberi dana kepada PKS terjejas.

“Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk melindungi pekerjaan dan menyekat pemotongan gaji. Pelanjutan program subsidi gaji, terutamanya bagi sektor yang terjejas akibat sekatan pergerakan, wajar diberi pertimbangan.

“Pemotongan cukai khas juga boleh diberikan untuk menggalakkan syarikat melaksanakan skim saham pekerja supaya pekerja yang berpendapatan tinggi boleh diberi imbuhan dalam bentuk saham.

“Langkah ini membolehkan mereka menyertai peluang pertumbuhan jangka panjang syarikat, manakala pampasan kewangan boleh disalurkan secara terus kepada pekerja berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN