Khazanah sokong penstrukturan MAS - Utusan Malaysia

Khazanah sokong penstrukturan MAS

Sehingga kini, MAS telah mengendalikan 218 penerbangan penyelamatan dan penghantaran warga terkandas ke negara masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd. (KHAZANAH) menyokong penuh usaha penyusunan semula yang dilakukan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Namun begitu, Khazanah menerusi balasan e-mel kepada Reuters memberitahu, sekiranya usaha penstrukturan semula MAS terbukti tidak berjaya, syarikat dana kekayaan negara itu akan menilai semula pilihan lain menuju ke hadapan.

Terdahulu, syarikat induk MAS iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) dalam surat kepada pemberi pinjaman memaklumkan, Kumpulan itu mungkin tidak dapat membuat pembayaran hutang selepas November kecuali menerima suntikan lebih banyak dana daripada Khazanah.

MAS mengumumkan akan melaksanakan proses penyusunan semula operasi kecemasan dengan mengkaji semula rancangan perniagaan jangka panjang (LTBP) bagi kekal relevan dan memastikan kelangsungan syarikat yang menerima impak akibat Covid-19.

Syarikat itu turut mengesahkan sudah menghubungi pemberi pembiayaan, pemiutang dan pembekal utama dalam usaha meneruskan proses penyusunan semula yang kian mendesak.

Jelasnya, impak kewangan negatif daripada krisis Covid-19 sememangnya di luar jangkaan dengan MAG telah mengambil langkah pantas mengurangkan kos dan memulihara aliran tunai sejak Mac lalu.

Katanya, langkah tersebut termasuk pemotongan gaji ekstensif bagi pihak pengurusan, juruterbang, memperkenalkan cuti tanpa gaji, membuat penangguhan pembayaran, merundingkan semula kontrak dan pelbagai lagi untuk melindungi sebanyak mungkin pekerjanya.

“Impak mendalam daripada krisis Covid-19 yang berpanjangan telah memaksa MAG mengambil langkah drastik bagi mengkaji semula LTBP untuk menjamin kelangsungan kumpulan termasuk menyemak semula pelan rangkaian dan pesawat bukan sahaja bagi membolehkannya berdepan landskap penerbangan yang tidak menentu dan permintaan trafik lebih perlahan pada masa akan datang.

“Pelan tersebut memerlukan penstrukturan perniagaan dan struktur modal komprehensif MAG yang bergantung kepada sumbangan  semua pihak berkepentingan berkaitan bagi menyokong kumpulan agar dapat keluar daripada krisis sebagai syarikat penerbangan mantap dari segi permodalan serta kewangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

MAS dan MAG dijangka meneruskan momentum terbaik tahun ini, namun Covid-19 yang melanda telah memaksa semua syarikat penerbangan menghentikan operasi dari Mac hingga Jun tahun ini.

MAS dan semua syarikat sekutunya di bawah MAG telah melancarkan LTBP awal 2019 dengan Kumpulan telah memperoleh pendapatan selepas cukai bersih (NIAT) lebih baik berbanding 2018 iaitu 18 peratus lebih tinggi daripada sasaran, manakala pendapatan Kumpulan turun berkembang tujuh peratus tahun ke tahun.

Peningkatan prestasi itu dicatatkan meskipun dalam situasi harga bahan bakar lebih tinggi, kenaikan tukaran asing dan kesan MFRS16.

Pendapatan bagi setiap tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (RASK) meningkat sebanyak tiga peratus manakala pulangan bertambah sebanyak lima peratus disokong kenaikan lima peratus tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (AS) tahun ke tahun. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya