Firefly ganti MAB hanya ‘angan-angan’ - Utusan Malaysia

Firefly ganti MAB hanya ‘angan-angan’

Keuntungan yang dihasilkan Firefly juga tidak besar dan memberangsangkan untuk mengambil alih syarikat penerbangan gergasi seperti Malaysia Airlines Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Struktur pentadbiran dan aliran tunai yang disifatkan masih belum kukuh membuatkan rancangan Khazanah Nasional Bhd. menjadikan Firefly sebagai syarikat penerbangan nasional menggantikan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) sebagai langkah tidak tepat.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin turut meragui kebolehan syarikat penerbangan itu untuk menyaingi AirAsia Bhd. dan Malindo Air.

“Adakah Firefly boleh bersaing dengan AirAsia dan Malindo Air? Bagi saya untuk menjadikan Firefly sebagai syarikat penerbangan rasmi negara adalah ibarat angan-angan yang sukar dilaksanakan kerana terdapat terlalu banyak perbezaan antara MAB dan Firefly.

“Keuntungan yang dihasilkan Firefly juga tidak besar dan memberangsangkan untuk mengambil alih syarikat penerbangan gergasi, MAB yang merupakan kebanggaan negara dan telah berkhidmat lebih 70 tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan pembiayaan kepada MAB dan menyalurkan untuk Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional.

Walau bagaimanapun, ia dilihat sebagai pilihan terakhir sayap pelaburan kerajaan itu sekiranya rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat tidak mencapai kata putus untuk proses pemulihan MAB.

Dalam pada itu, Ismail turut meluahkan kekecewaannya dengan sikap pengurusan MAB yang tidak sensitif dengan keada­an kakitangan syarikat penerbangan nasional itu.

“Dalam keadaan pandemik, anak kapal masih terus menjalankan tugas walaupun berisiko. Gaji pokok mereka juga sangat rendah namun mereka masih perlu membayar pinjaman bank dan menyara hidup.

“Pengurusan syarikat harus bersikap lebih telus, inklusif dan jangan hanya menghukum mereka yang ‘di bawah’. Masukkan mereka ini dalam perbincangan untuk memulihkan keadaan syarikat dan jujurlah dengan tugas ini. Ini bukan masanya untuk berahsia.” katanya.

Menurut Ismail, ribuan pekerja MAB yang ditawarkan skim persaraan awal akan mengalami masalah untuk mencari pekerjaan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ketika ini dan ketidaktentuan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.