Felda terbit sukuk RM9.9 bilion - Utusan Malaysia

Felda terbit sukuk RM9.9 bilion

Felda perlu kekal identiti JKKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion yang dijamin oleh kerajaan.

Rancangan itu yang mendapat kelulusan kerajaan, adalah di bawah pelan pemulihan semula agensi berkenaan yang menghadapi bebanan hutang berjumlah RM10.6 bilion dan struktur modal tindak mampan.

Difahamkan penerbitan sukuk itu fasa pertama dalam pelan pemulihan Felda dan membantu ratusan ribu peneroka dan keluarga manakala beberapa fasa lain akan dilaksanakan termasuk cada­ngan mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV Holdings Berhad (FGV).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengumumkan penerbitan sukuk antara cadangan dalam laporan Pasukan Petugas Khas yang dibentangkan pada 14 Oktober lalu.

Katanya, sukuk itu bertujuan menstruktur semula hutang Felda dengan institusi kewa­ngan, meningkatkan pendapatan teras dari tanah ladang dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan me­ningkatkan daya berdikari peneroka.

Mustapa menjangka kedu­dukan kewa­ngan Felda akan kembali positif mulai 2023 hasil pelaksanaan tiga inisiatif itu dan mengembalikan agensi milik kerajaan itu sebagai institusi dihormati dan berdaya maju.

“Pelaksanaan cadangan-cadangan oleh Felda ini akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Mustapa berkata, Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan itu dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dan disertai Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Penubuhan pasukan itu me­rupakan kesinambungan daripada Kertas Putih bertajuk ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

“Pasukan itu telah mengenal pasti pelbagai masalah utama dihadapi Felda, antaranya struktur modal tidak mampan dan bebanan hutang yang amat tinggi berjumlah RM10.6 bilion,” jelas Mustapa.

Situasi ini katanya, berpunca daripada kurang sumber pendapatan terutama bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian laba yang rendah daripada jangkaan LLA dimeterai de­ngan FGV.

Keadaan itu diburukkan lagi ekoran kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan yang menyumbang kepada masalah cairan tunai yang kritikal, sekali gus menjejaskan operasi agensi itu serta peneroka di seluruh negara.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah dan pentadbiran Felda hendaklah komited untuk terus meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah baik tadbir urus,” kata Mustapa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya