Buka peluang pelabur asing selamatkan MAS - Utusan Malaysia

Buka peluang pelabur asing selamatkan MAS

Khazanah sebagai pemilik tunggal perlu menyusun strategi untuk memastikan kelangsungan MAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAS) boleh di­selamatkan jika pelabur asing diberi peluang melabur dalam syarikat penerbangan negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Profesor Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, MAS tidak lagi membuat keuntu­ngan untuk beberapa tahun lepas.

“Penting untuk MAS merombak semula model pentadbirannya dengan bersikap terbuka untuk menerima pelabur asing kerana sudah agak lama MAB tidak membuat keuntungan dan hanya mengharapkan suntikan dana daripada pihak lain.

“Bukan setakat tahun ini yang mana negara dilanda pandemik tetapi MAS telah lama menanggung kerugian walaupun dana di suntik setiap tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pernah melaporkan terpaksa menanggung pelarasan susut nilai mencecah RM7.3 bi­lion pada 2017 dan separuh daripadanya bagi memastikan syarikat penerbangan ikonik negara itu terus beroperasi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin menegaskan, Khazanah sebagai pemilik tunggal perlu menyusun strategi untuk memastikan kelangsungan MAS.

Tambah Abu Sofian, negara tidak mempunyai masalah jika kehilangan MAS dan menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan swasta seperti Air­Asia dan Malindo Air.

“Negara kita tidak akan begitu terjejas jika MAS tidak di­selamatkan, namun MAS adalah satu-satunya penerbangan yang membawa nama negara, maka itu membuatkan ramai gusar kalau syarikat itu terpaksa ditutup,” katanya.

MAS mencatatkan sejarah hitam apabila kehilangan dua pesawat Boeing 777 pada 2014 dan selepas itu sehingga 2018, MAS mengalami kerugian sebanyak RM3.15 bilion.

Bagi penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, sekiranya pemegang saham utama MAS berhasrat meneruskan juga perkhidmatan MAS, maka perlu mengambil langkah mengecilkan operasinya sesuai dengan situasi ekonomi semasa.

“Mungkin itu adalah yang paling strategik buat waktu ini. Sehingga ekonomi kembali kepada sediakala, MAS boleh dibesarkan kembali sesuai dengan permintaan pasaran. Tidak perlulah MAS memiliki aset seperti pesawat yang banyak seperti dahulu.

“MAS merupakan satu kha­zanah negara yang kita sudah maklum dan menjadi jenama antarabangsa serta membawa nama Malaysia. Sebagai sebuah legasi negara maka daripada sudut kebudayaan dan kenegeraan, MAS seharusnya patut diselamatkan daripada lupus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN