fbpx

Bantuan kewangan, baucar pemandu e-hailing

e hailing
Perkhidmatan e-hailing MannGo yang mula menyediakan perkhidmatan di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

PRA BELANJAWAN 2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemandu Grab Malaysia meminta kerajaan memberi bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM1,000 dan baucar penyelenggaraan kenderaan sebanyak RM500 setahun kepada pemandu-pemandu e-hailing.

Presidennya, Arif Asyraf Ali berkata, pihaknya mengakui bantuan yang diberikan kerajaan sebelum ini sedikit sebanyak membantu pemandu-pemandu e-hailing untuk ‘bernafas’, namun ia tidak ‘meriah’ berban­ding pemandu teksi.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 setahun kepada pemandu e-hailing bagi meringankan beban mereka untuk membayar insurans dan cukai jalan kenderaan kerana mereka juga antara penyumbang kepada industri.

“Pemandu e-hailing yang mempunyai lesen dan berdaftar wajar diberikan bantuan kewa­ngan. Jika mereka tidak mempunyai masalah kewangan, tidaklah pula mereka membuat kerja separuh masa atau sepenuh masa sebagai pemandu e-hailing,” katanya kepada Utusan Malaysia mengenai harapan persatuan itu dalam Belanjawan 2021.

Tambah Arif Asyraf, kerajaan juga perlu mengkaji keberkesanan pemberian bantuan kewangan itu kepada pemandu e-hailing kerana ada antara mereka yang tidak menikmati bantuan sekali gus menambah tekanan yang dihadapi oleh mereka.

“Kerajaan perlu lebih adil dalam memberi bantuan kepada pemandu e-hailing tanpa mengira mereka memandu secara separuh atau sepenuh masa ke­rana mereka mempunyai lesen sah dan berdaftar,” katanya.

Berdasarkan syarat dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hanya pemandu e-hailing sepenuh masa dan kenderaan dipandu memiliki Permit Kenderaan e-Hailing (eVP) layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Selain itu, ujarnya, jika kerajaan dapat menyediakan baucar penyelenggaran kenderaan RM500 setahun kepada pemandu e-hailing sekurang-kurangnya kenderaan mereka dapat diselenggara dengan baik.

“Pemandu-pemandu ini secara tidak langsung dapat menggunakan baucar itu di kedai-kedai yang terpilih. Secara tidak langsung, kerajaan dapat merangsang sektor ekonomi yang lain seperti bengkel atau kedai servis kenderaan, tayar, alat ganti dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat meningkat dan mengetatkan penguatkuasaan terhadap pemandu-pemandu e-hailing secara haram.

“Pemandu ini tidak berdaftar dan berkemungkinan mengelirukan orang ramai dengan menggunakan aplikasi berdaftar. Mereka tidak mematuhi syarat-syarat pemandu e-hailing yang akhirnya menjejaskan pendapatan pemandu berdaftar.

“Kerajaan juga perlu mengawal selia harga perkhidmatan kerana kelemahan tadbir urus kewangan untuk sektor ini hanya menimbulkan situasi penindasan terhadap pemandu-pemandu e-hailing,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN