PETALING JAYA: Di sebalik persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan persembahan di kelab malam, penyanyi baharu, Yuji, berpendapat lokasi itu menjadi antara pilihan ramai penyanyi rap disebabkan lebih mudah menghimpunkan penonton dan memperluaskan kelompok peminat mereka.
Yuji berkata, dia memahami pandangan sesetengah individu yang melihat kelab malam sebagai tempat yang kurang sesuai, namun dari sudut industri muzik, realiti yang dihadapi oleh kebanyakan penyanyi terutama artis baharu adalah berbeza.
“Ada orang tanya kenapa banyak penyanyi-penyanyi rap banyak menyanyi dekat kelab malam. Sebagai seorang artis dan juga seorang Muslim, saya faham ada yang berpendapat kelab malam bukan tempat yang baik untuk dikunjungi.
“Saya juga memahami pandangan tersebut. Tetapi apabila bercakap soal persembahan, hakikatnya bukan mudah untuk menarik orang ramai membeli tiket dan hadir ke sesuatu acara,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menurut penyanyi lagu Old Love ini, faktor itu menjadi antara sebab mengapa ramai penyanyi rap memilih untuk mengadakan persembahan di kelab malam berbanding lokasi lain yang memerlukan usaha lebih besar untuk menarik kehadiran penonton.
“Ramai penyanyi rap membuat persembahan di kelab malam kerana tempat seperti itu selalunya dipenuhi pengunjung. Dari situlah mereka berpeluang mendapatkan peminat dan penyokong baharu.
“Kalau buat persembahan di tempat lain, mereka perlu bekerja lebih keras untuk menarik orang membeli tiket dan datang menonton. Kalau awak di tahap Dato Siti memang senang la nak jual tiket. Itulah perbezaannya,” katanya.
Terdahulu, yuji membina nama sebagai artis bebas yang menghasilkan, menulis, dan menerbitkan lagunya sendiri. Beliau mula mendapat perhatian meluas pada tahun 2022.
Lagu yang melonjakkan namanya ke persada antarabangsa, menampilkan vokal santai bersama Putri Dahlia adalah lagi Old Love yang turut dimainkan oleh Jungkook BTS semasa siaran langsung, sekaligus meningkatkan popularitinya. -UTUSAN









