KUALA LUMPUR: Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo!) komited untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh Malaysia bagi memenuhi permintaan sedia ada rakyat Malaysia yang semakin celik digital, selaras dengan hasrat kerajaan melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berusaha memanfaatkan rangkaian fiber optik milik TNB sepanjang 18,000km di seluruh Semenanjung Malaysia untuk membekalkan rangkaian internet berkualiti tinggi ke kawasan pinggir bandar yang belum tersedia perkhidmatan sedemikian.
Allo! menyediakan infrastruktur rangkaian secara akses terbuka untuk digunakan mana-mana Pembekal Khidmat Runcit (RSP) yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi bagi membekalkan perkhidmatan internet jalur lebar berkualiti tinggi di kawasan pinggir bandar.
Selepas kejayaan menyiapkan projek rintis internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di Jasin dengan menghubungkan 1,100 kediaman dalam tempoh kurang dari tiga bulan pada Januari 2019, kini Allo! telah berjaya menghubungkan 17,000 kediaman di Melaka (Jasin, Alor Gajah, Malim Jaya and Ayer Keroh) dan 9,800 kediaman di Menglembu, Perak.
Menyokong penuh usaha kerajaan di bawah Jendela, Allo! akan memperluaskan rangkaian akses terbuka ke negeri-negeri lain untuk menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik bagi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Kami menyediakan infrastruktur rangkaian yang berkelajuan sehingga 1Gbps. Untuk menggunakan rangkaian jalur lebar kami, penduduk perlu melanggan pakej daripada penyedia perkhidmatan internet (RSP) yang membekalkan banyak pilihan perkhidmatan pada kadar yang kompetitif.
“Ini apa yang kami lakukan setakat ini di beberapa kawasan pinggir bandar di Melaka serta Perak dan akan diluaskan ke Pulau Pinang, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor selepas ini. Kami sasarkan untuk menghubungkan 150,000 kediaman dengan rangkaian ini menjelang suku kedua tahun hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodzi Ahmad.
Kata Rodzi, matlamat utama Allo! adalah untuk merapatkan jurang digital di kawasan bandar dengan pinggir bandar supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati dan memanfaatkan kemudahan internet yang berkualiti tinggi.
“Kami harap lebih ramai penduduk boleh gunakan internet dengan memanfaatkan infrastruktur kami supaya lebih ramai dapat menjalankan urusan secara dalam talian yang semakin diperlukan ketika ini,” katanya.
Menurut beliau, permintaan terhadap rangkaian internet berkualiti tinggi di kawasan pinggir bandar adalah di luar jangkaan terutamanya ketika pandemik Covid-19 melanda, apabila norma baharu kehidupan menuntut lebih banyak urusan seharian dijalankan secara dalam talian.
“Masih terlalu awal untuk memberikan data tepat tetapi setakat ini, permintaan melanggan khidmat internet melalui RSP menggunakan infrastruktur kami amat menggalakkan.
“Walaupun analisis awal kami menjangkakan permintaan kurang di kawasan pinggir bandar tetapi rangkaian fiber optik milik TNB sudah ada di sana. Ternyata, permintaan terbukti menggalakkan,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia menduduki tempat ke-30 daripada 79 negara dalam Indeks Keterhubungan Huawei. Dalam indeks tersebut, Malaysia mencatat mata penuh dalam dua indikator, iaitu penembusan telefon pintar dan langganan jalur lebar mudah alih.
Prestasi memberangsangkan ini memberi petanda bahawa rakyat Malaysia sangat bersedia untuk menuju pendigitalan. Ditambah dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19, permintaan terhadap sambungan internet berkualiti ada di mana-mana sahaja.
“Aspirasi utama Allo! adalah untuk menyokong hasrat kerajaan bagi merapatkan jurang digital dalam negara dan membenarkan lebih banyak RSP untuk menggunakan infrastruktur Allo! bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” kata Rodzi. – UTUSAN









