835,000 berisiko jatuh miskin - Utusan Malaysia

835,000 berisiko jatuh miskin

Sebanyak 835,000 atau 11.3 peratus isi rumah di negara ini berisiko jatuh ke paras kemiskinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 835,000 atau 11.3 peratus isi rumah di negara ini berisiko jatuh ke paras kemiskinan.

Dapatan itu diperoleh menerusi laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk ‘Welfare in Malaysia Across Three Decades’ yang turut menunjukkan kemiskinan relatif masih tinggi iaitu pada kadar 16.9 peratus melibatkan 1.2 juta isi rumah.

Bagaimanapun, secara keseluruhan kadar kemiskinan mutlak menurun sepanjang tiga dekad iaitu dari 16.5 peratus pada 1989 kepada 5.6 peratus tahun lalu, setelah mengambil kira garis kemiskinan baharu iaitu RM2,208 yang disemak semula Julai lalu.

“Ini bererti 11.3 peratus atau 835,000 isi rumah masih ada pendapatan yang hanya tinggi sedikit daripada pendapatan garis kemiskinan mutlak. Masih ramai berada jauh daripada taraf hidup purata masyarakat.

“Isi rumah ini pada bila-bila masa boleh jatuh dalam kategori miskin mutlak sekiranya berlaku malapetaka seperti jatuh sakit atau hilang pekerjaan,” menurut laporan yang dikeluarkan KRI semalam.

Laporan itu dibentangkan secara maya oleh Penyelidik KRI, Hawati Abdul Hamid dan Adam Manaf Mohamed Firouz yang juga merupakan penulis laporan bersama-sama Christopher Choong Weng Wai.

Dalam masa sama, purata pendapatan isi rumah negara pada nilai benar melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM7,901 tahun lalu berbanding hanya RM2,580 pada 1989, manakala pendapatan penengah naik daripada RM1,801 kepada RM5,873.

Menurut laporan berkenaan, pendapatan isi rumah pada 2019 merangkumi 45.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan memberangsangkan berbanding 35.9 peratus 1989.

Katanya, pertumbuhan pendapatan menyumbang kepada peningkatan tahap perbelanjaan dengan corak penggunaan berubah apabila peningkatan perbelanjaan bukan keperluan seperti barangan berkaitan komunikasi, rekreasi dan kebudayaan serta makan di luar rumah menandakan taraf hidup yang lebih baik.

Laporan itu mendapati, trend jangka panjang jurang pendapatan yang biasanya diukur dengan pekali Gini turut menurun daripada 0.442 kepada 0.407 dalam tempoh tiga dekad.

“Pertumbuhan pendapatan bumiputera lebih tinggi lantas menyumbang kepada jurang lebih kecil antara kaum, namun kepelbagaian sektor ekonomi bumiputera masih terhad berbanding bukan bumiputera.

“Pembangunan ekonomi turut meningkatkan purata pendapatan dan penengah di semua negeri sepanjang tiga dekad lalu.

“Pencapaian positif ini dapat dicapai walaupun terdapat pelbagai cabaran termasuk di luar kawalan seperti krisis kewangan Asia pada 1997 dan krisis kewangan global pada tahun 2008 yang sedikit sebanyak telah menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN