KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 peratus atau 7,500 ahli Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih memerlukan lanjutan moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan lagi untuk memudahkan aliran tunai sehingga dapat menstabilkan operasi perniagaan mereka.
Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, moratorium pasti membantu PKS bagi menyokong aliran tunai mereka ketika berdepan cabaran semasa pandemik Covid-19.
“Berdasarkan bancian yang dibuat oleh pihak persatuan, 50 peratus daripada 15,000 ahli telah terjejas apabila moratorium tidak dilanjutkan kerana mereka masih memerlukan sekurang-sekurang tiga bulan lagi untuk betul-betul pulih semula.
“Manakala 10 peratus PKS daripada jumlah keseluruhan ahli pula ‘tutup kedai’ kerana tidak dapat meneruskan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, setakat ini lebih daripada 80 peratus PKS telah mempunyai aliran tunai mereka apabila moratorium dilaksanakan.
“Saya berpendapat, jika kesemua PKS dapat menerima manfaat melalui lanjutan moratorium, ia sekali gus dapat membantu ekonomi negara untuk pulih kembali,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abdul Halim Husin berkata, sebanyak 50 peratus atau 250,000 ahlinya mendapat manfaat melalui moratorium selama tiga bulan lalu.
“Moratorium amat berkesan kepada PKS kerana dengan penangguhan itu mereka tidak perlu membayar pinjaman yang dikenakan bank dan juga institusi perbankan yang sedia ada maka aliran tunai dapat dijimatkan bagi meneruskan perniagaan mereka pada waktu sekarang.
“DPMM berpendapat, moratorium bersasar amat sesuai sekali dilaksanakan namun pengagihan sasaran yang dibuat oleh pihak bank tidak menepati apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.
Jelasnya, pihak bank hanya menyasarkan mereka yang boleh membayar atau berpotensi membayar semula pinjaman yang mendapat moratorium, sedangkan yang sepatutnya disasarkan adalah PKS yang terjejas dan mereka yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.
“Oleh itu, pihak DPMM sedang dalam perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempromosikan penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) berikutan kurang didedahkan kepada peminjam terutama PKS.
“Ini ditambah dengan kesulitan mereka berurusan dengan pihak bank kerana sebilangannya mempunyai pinjaman dengan beberapa bank dan menyukarkan PKS susulan bank tidak mempunyai modus operandi yang standard.
“Sepatutnya, pihak bank perlu bekerjasama dengan AKPK melalui R&R ini bagi mendatangkan kebaikan yang besar kepada PKS dan semua peminjam,” katanya. – UTUSAN










