UOA Development jual menara korporat RM700 juta - Utusan Malaysia

UOA Development jual menara korporat RM700 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UOA Development menjual menara korporatnya kepada Dana Pelaburan Harta Tanah (REIT) UOA dengan harga RM700 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA Development berkata, pemegang sahamnya akan menerima dividen istimewa bernilai 1 sen setiap saham melalui penjualan menara 38 tingkat yang terletak di Bangsar South itu.

Sebanyak RM646 juta, atau 92.9 peratus daripada jumlah jualan itu akan digunakan untuk mendanai perkembangan hartanahnya iaitu District K, Jalan Ipoh; Taman Perniagaan UOA Fasa II, Shah Alam; Lot 2507, Kerinchi dan V50, Bangsar South.

Sementara itu, RM32.36 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja manakala baki RM21.24 juta digunakan untuk membayar dividen istimewa.

Menara tersebut mempunyai nilai buku bersih sebanyak RM586 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan penjualan tersebut mendatangkan keuntungan sebanyak RM114 juta kepada kumpulan tersebut.

Menurut kumpulan itu, penjualan menara tersebut dapat membantu meningkatkan aliran tunainya yang pada 30 Jun berada pada nilai RM1.1 bilion.

Katanya lagi, dana yang diperoleh turut akan digunakan untuk mendanai pemerolehan pembangunan tanah dan pembangunan harta pelaburan mereka melalui dana yang diperoleh secara dalaman tanpa perlu bergantung kepada pinjaman.

Dalam makluman yang berbeza, UOA REIT memberitahu, mereka akan menanggung sebahagian daripada pertimbangan pembelian melalui tawaran persendirian yang akan mengutip RM278 juta.

Apabila tawaran tersebut selesai, modal unit UOA REIT akan meningkat kepada 652.67 juta unit.

“Menara Korporat UOA akan melengkapi portfolio harta sedia ada UOA REIT yang terdiri daripada bangunan pejabat sepenuhnya.

“Pemerolehan Menara Korporat UOA (yang disiap dibina pada 2016) juga akan mengurangkan purata umur bangunan dalam portfolio harta UOA REIT daripada kira-kira 18 tahun pada 31 Disember 2019 kepada 16 tahun.,” katanya.

Kawasan boleh disewa bersih (NLA) milik UOA REIT akan meningkat kepada 2.07 juta kaki persegi selepas mengambil kira 732,871 kaki persegi daripada menara tersebut.

UOA REIT juga akan merealisasikan keuntungan tidak direalisasikan sebanyak RM16.4 juta melalui pembelian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya