Untung bersih Top Glove melonjak 417 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Top Glove melonjak 417 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lonjakan permintaan sarung tangan susulan penularan pandemik Covid-19 memberikan kesan positif kepada prestasi kewangan Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) selepas merekodkan keuntungan bersih RM1.9 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Jumlah tersebut melonjak 417 peratus berbanding hanya RM365 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2019.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat sarung ta­ngan terkemuka itu memaklumkan turut merekodkan perolehan luar biasa mencecah RM7.24 bi­lion dalam tahun kewangan 2020, peningkatan 51 peratus berbanding RM4.80 bilion pada 2019.

Tempoh suku terakhir tahun kewangan 2020 menyaksikan keuntungan bersih suku terbaik yang pernah diraih Top Glove selepas merekodkan RM1.33 bilion hampir 18 kali ganda lebih tinggi dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2020 turut meningkat 161 peratus kepada RM3.11 bilion berbanding RM1.19 bilion dicatatkan bagi tiga bulan terakhir tahun kewangan 2019.

Syarikat itu mengumumkan bayaran dividen sebanyak 11.8 sen sesaham membabitkan jumlah kira-kira RM961.2 juta bagi tahun kewangan dilaporkan, me­ningkat 9.3 sen atau 373 peratus tahun sebelumnya.

Menurut Top Glove, pertumbuhan luar biasa itu diperoleh menerusi peningkatan permintaan akibat Covid-19 dengan kebanyakannya di Asia, Eropah Barat dan Eropah Timur yang masing-masing naik 110, 73 dan 64 peratus berbanding 2019.

Dari segi produk, Top Glove memberitahu, permintaan sarung tangan nitril melonjak 31 peratus tahun-ke-tahun manakala sarung tangan pemeriksaan getah asli turut naik tujuh peratus.

“Peningkatan keuntungan Kumpulan disebabkan oleh pe­ningkatan produktiviti yang te­lah dimulakan sementara tahap penggunaan Kumpulan yang kekal menghampiri 100 peratus sekali gus memperkukuh kecekapan pengeluaran dan memperoleh skala ekonomi terbaik.

“Kadar penggunaan yang tinggi turut membantu me­ngurangkan perbelanjaan ketara terutama kos tenaga kerja dan gas asli.

“Aliran tunai yang sihat menerusi prestasi cemerlang turut membolehkan Top Glove me­ngurangkan pinjaman sekali gus menyebabkan penjimatan 33 peratus daripada kos faedah. Sepanjang tahun kewangan 2020 juga, aliran tunai bersih yang dihasilkan daripada aktiviti operasi adalah RM3.17 bilion berbanding RM530 juta tahun kewangan 2019, pe­ningkatan mengagumkan sebanyak 500 peratus,” katanya dalam kenya­taan itu semalam.

Sementara itu, Pe­ngerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, pres­tasi cemerlang itu di­sebabkan kecekapan inisiatif penambahbaikan dipacu teknologi yang memberi tumpuan kepada kualiti dan kecekapan kos sekali gus memboleh­kannya memenuhi permintaan sarung tangan.

Beliau berkata, walaupun Covid-19 telah memberi impak negatif kepada sektor perniagaan negara sekali gus meningkatkan kadar pengangguran, namun permintaan kukuh sarung tangan telah memboleh­kan Top Glove meneruskan aktiviti pengambilan pekerja. Dalam tempoh setahun, syarikat itu menggajikan 4,000 pekerja tempatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Kami turut memberi kredit kepada 21,000 pekerja atas prestasi hebat selepas terus memberikan yang terbaik bagi memastikan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan tidak terjejas walaupun berhadapan pelbagai cabaran operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Prestasi kewangan itu mengukuhkan kedudukan Top Glove sebagai syarikat kedua terbesar dari segi permodalan pasaran dalam indeks penanda aras Bursa Malaysia. dan kesembilan terbesar di indeks pasaran saham SGX Singapura dengan permodalan pasaran masing-masing mencecah (RM68.6 bi­lion) dan SGD22.6 bi­lion (RM68.81 bilion) setakat Selasa lalu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya