Rantaian bekalan Huawei ‘diserang’ - Utusan Malaysia

Rantaian bekalan Huawei ‘diserang’

Amerika Syarikat terus beri tekanan kepada Huawei dengan mengetatkan lagi sekatan kepada akses mendapatkan cip komersial. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Huawei Technologies (Huawei) akan melakukan segalanya untuk mempertahankan rantaian bekalannya yang kini sedang ‘diserang’, kata Pengerusi bergilirnya, Guo Ping.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian tentang serangan tersebut.

Huawei sebelum ini berhadapan dengan tekanan berterusan daripada Amerika Syarikat (AS) yang bulan lalu mengetatkan lagi sekatan untuk menyukarkan akses syarikat itu terhadap cip yang boleh didapatkan secara komersial.

Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu berkata, syarikat itu akan menghentikan pembuatan cipnya yang paling canggih di bawah model Kirin, bermula 15 September. Cip itu digunakan untuk telefon mewah Huawei.

Kebimbangan jika bahagian telefon syarikat itu akan gulung tikar menyebabkan pengguna berpusu-pusu membeli model telefonnya.

Vendor berkata, harga tele­fon mereka telah meningkat sehingga 500 yuan (RM305.57) untuk beberapa peranti akibat permintaan yang meningkat.

Syarikat itu telah mengumpul pelbagai cip daripada vendor berlainan sebelum sekatan tersebut dilaksanakan. Penganalisis menjangkakan bekalan cip Kirin sedia ada akan kehabisan tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, sekatan AS itu membenarkan syarikat-syarikat untuk memohon lesen daripada pihak berkuasa AS untuk terus menyediakan bekalan kepada Huawei dan sudah ada perniagaan yang cuba untuk memanfaatkan polisi itu.

Intel berkata, mereka te­lah menerima lesen untuk membekalkan produk kepada Huawei. Semiconductor Manufacturing International Corp. milik China yang menggunakan jentera berasal dari AS untuk menghasilkan cip buat Huawei juga dilaporkan memohon lesen tersebut.

Huawei melancarkan OS Harmony terbaharunya pada awal bulan ini, sistem operasi yang diharap dapat menggantikan Android memandangkan Google telah dihalang daripada menyediakan kemas kini untuk syarikat itu.

Sistem operasi itu akan dilancarkan dalam peranti internet segala benda (IoT) terlebih dahulu sebelum dalam model telefon syarikat itu menjelang akhir tahun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya