Angkasa guna sistem SPeKAR - Utusan Malaysia

Angkasa guna sistem SPeKAR

Che Mohd. Shukree Che Isa (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Service Sdn. Bhd., Dawn Lai menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama yang ditandatangani di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 100 peratus penggunaan SPeKAR, iaitu Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA dan Experian Information Services Sdn. Bhd. (Experian) kepada anggota-anggota koperasi dalam tempoh dua tahun lagi.

SPeKAR merupakan sistem carian maklumat kredit individu yang menggabungkan data potongan gaji yang diuruskan menerusi Sistem Potongan Gaji Angkasa.

Ia termasuk data maklumat kredit bank, maklumat litigasi, status muflis, penyenaraian hitam peminjam tegar yang gagal membuat bayaran dan lain-lain maklumat kredit yang diuruskan oleh Experian.

Angkasa sebagai badan apeks koperasi yang diiktiraf oleh kerajaan telah bekerjasama dengan Experian sejak 2012, yang dahulunya dikenali sebagai RAM Credit Information Sdn. Bhd.

Naib Presiden Angkasa, Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa berkata, penggunaan SPeKAR telah mencatatkan 40 peratus daripada 574 koperasi kredit bagi pengurusan risiko mereka, buat masa ini.

“Penggunaan sistem ini telah meningkat 241 peratus, sejak penubuhan SPeKAR pada 2012 yang telah memberi manfaat kepada peminjam dan pemberi pinjaman dalam menguruskan risiko dan liabiliti tahap hutang isi rumah.

“Data portfolio i-Score yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam menyokong Garis Panduan Pemberian Pinjaman dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Angkasa dan Experian di sini, semalam.

Ujarnya, purata pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada koperasi kredit yang diuruskan potongan gaji oleh Angkasa pada kadar dua hingga lima peratus tahun lalu, namun bagi koperasi lain berkemungkinan mencecah sehingga 10 peratus.

“Dengan SPeKAR, kami menjangkakan NPL menurun pada dua peratus bagi koperasi-koperasi yang telah menggunakan sistem ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya