1.4 juta pergerakan penumpang - Utusan Malaysia

1.4 juta pergerakan penumpang

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 1.4 juta pergerakan penumpang sepanjang Ogos, meneruskan momentum lebih sejuta pergerakan sejak Julai.
Pergerakan trafik pesawat juga meningkat sebanyak tujuh peratus kepada 24,209 pergerakan, jumlah yang lebih tinggi daripada bulan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pemulihan trafik udara ketika ini banyak dipandu oleh sektor domestik yang terus mendapat permintaan.

“Sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan penumpang adalah daripada pergerakan trafik tempatan. Amat menggembirakan bagi kami untuk melihat orang ramai mula kembali yakin dengan keselamatan pengangkutan udara yang dibuktikan dengan peningkatan kekerapan penerbangan.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan 149 kekerapan penerbangan setiap minggu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Semua lapangan terbang dalam negara mencatatkan peningkatan kekerapan penerbangan yang mana KLIA meningkat 33 peratus manakala lapangan terbang antarabangsa lain iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mencatatkan kombinasi peningkatan sebanyak 75 peratus.

Menurut MAHB, sebab utama peningkatan tersebut adalah pelancaran Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan Singapura yang menyaksikan tiga syarikat penerbangan tempatan bersama syarikat penerbangan asing iaitu Scoot Airlines dan Jetstar Asia meneruskan operasi di laluan tersebut.

“Penumpang tempatan juga memanfaatkan cuti sekolah, Hari Kemerdekaan dan Awal Muharram untuk melawat destinasi pelancongan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukrie turut menyatakan komitmen MAHB untuk meneruskan usaha menambah baik pengalaman penumpang dari segenap segi termasuk keselamatan dan keberkesanan sebagai persediaan apabila perjalanan udara kembali normal pada masa hadapan.

“Kami mahu bersedia memandangkan ketika ini kami menyasarkan penumpang akan meningkat apabila sempadan dibuka semula.

“Kami akan terus komited dan memberi sepenuh sokongan kepada rakan-rakan syarikat penerbangan dan peruncit untuk bersama-sama kembali pulih dari pandemik ini sementara terus mempersiapkan lapangan terbang dengan operasi dalam norma baharu serta mengamalkan piawaian keselamatan tertinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya