Petronas, kerajaan Sarawak akhiri pertikaian - Utusan Malaysia

Petronas, kerajaan Sarawak akhiri pertikaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan kerajaan negeri Sarawak mengakhiri pertikaian berhubung Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan kerajaan negeri itu membabitkan produk petroleum berjumlah RM1.3 bilion.

Ini kerana keputusan menggugurkan semakan kehakiman itu dibuat kedua-dua pihak di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil serta Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Indera Mohd. Sofian Abd. Razak.

Peguam mewakili Petronas, Alvin Chong dalam sebutan semula kes berkenaan berkata, pihaknya menerima arahan (pelanggannya) supaya membatalkan rayuan (semakan kehakiman) ini dan kos perundangan akan ditanggung kedua-dua pihak.

“Saya percaya, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak, Datuk Seri J.C. Fong boleh mengesahkannya,” katanya.

Kenyataan Alvin disokong Fong yang memberitahu mahkamah bahawa pihaknya juga mengesahkan bahawa tiada sebarang bantahan terhadap pembatalan rayuan ini.

“Kami juga akan menggugurkan serangan balas terhadap Petronas dan kami meminta perintah supaya menggugurkan rayuan dan perintah Mahkamah Tinggi Kuching dikekalkan,” katanya.

Abdul Karim setelah mendengar pernyataan daripada kedua-dua pihak memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini.

“Kedua-dua pihak akan menanggung kos perundangan masing-masing,” ujarnya.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan Petronas bagi semakan kehakiman untuk mengetepikan tiga notis taksiran dikemukakan kerajaan negeri bagi menuntut

pembayaran SST berjumlah RM1.3 bilion.

Syarikat itu memohon perisytiharan bahawa SST yang dikenakan oleh kerajaan negeri Sarawak sebagai batal dan tidak sah.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Perkara 95B(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Sabah dan Sarawak juga boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan di kedua-dua negeri.

Mahkamah memutuskan bahawa ia disifatkan sebagai antara perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Petronas memohon antara lain untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Perintah Cukai Jualan Negeri (Barang Boleh Dicukai dan Kadar Cukai) (Pindaan) (No 2) 2018, Seksyen 2, 7, 8, 11 (1), 12 (1), 12 (6), 12 (7) dan 15 (d) Ordinan Cukai Jualan Sarawak 1998 dan Peraturan 19 C, Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998, adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Petronas selaku pemohon menyatakan bahawa ia adalah batal dan tidak sah.

Sebutan semula kes berkenaan pada hari ini bagaimanapun dibuat secara maya menerusi aplikasi Zoom di Mahkamah Teknologi Pelbagai Guna, Istana Kehakiman di sini.

Ini berikutan pihak yang mewakili kerajaan negeri tidak dapat datang ke sini berikutan Kuching kini berada dalam zon merah pandemik Covid-19. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya